SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Negeri terus membantu pekerja yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi dan krisis geopolitik global menerusi penganjuran Mega JobCare Selangor.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata program Mega JobCare itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang diperkenalkan sebelum ini.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan kerja akibat krisis geopolitik, malah menjadi platform padanan antara majikan dan pencari kerja.
“Mega JobCare ini kita laksanakan sebagai salah satu usaha membantu rakyat yang terkesan khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan landskap industri.
“Para pelajar juga digalakkan hadir untuk melihat sendiri keperluan industri terkini sekali gus membantu mereka membuat pilihan lebih tepat dalam merancang hala tuju pengajian atau kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, semalam.
Menurut Papparaidu, program berkenaan akan berlangsung di SACC Mall, Shah Alam pada 8 dan 9 Ogos ini dengan penyertaan 100 majikan yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor dengan sasaran kehadiran 10,000 pengunjung.
Katanya, berkata pameran pekerjaan itu juga diharap dapat memberikan nilai tambah pengetahuan kepada pengunjung mengenai peluang kerjaya serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja masa kini.
Pada 19 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKESO serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.










