KUALA LANGAT, 11 APRIL: Lebih 10,000 individu mendapat pekerjaan menerusi karnival kerjaya anjuran Kerajaan Negeri sejak diperkenal pada 2022.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata jumlah itu membabitkan pengajuran di sembilan daerah termasuk Karnival Jobcare Istimewa dan Jobcare Premium.
“Kejayaan karnival ini sangat membanggakan yang mana tahun lepas sahaja lebih 4,000 diterima pekerjaan menerusi temuduga secara langsung.
“Saya menyeru supaya semua pencari kerja terutama lepasan graduan untuk datang temuduga. Ambil peluang ini dahulu untuk mula bekerja dan selepas itu baru tambah nilai diri dengan pengalaman yang ada,” katanya ditemui pada Karnival Jelajah JobCare Selangor daerah Kuala Langat di Kolej MCS, Banting hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 30 syarikat menyertai karnival kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor.
Katanya, sebanyak 4,348 perjawatan ditawarkan menerusi jelajah siri pertama itu dengan gaji diberikan sehingga RM12,000.

Sementara itu, R. Thurkatharshini, 27, berkata beliau mengambil peluang datang ke karnival untuk mencari pekerjaan baharu sambil membawa adiknya yang tamat pengajian.
“Saya bekerja di bahagian pentadbiran dan ingin mencuba di tempat baharu selain pada masa sama dapat perbaiki diri untuk menjadi lebih baik.
“Bagi saya, karnival seperti ini membantu memudahkan mencari pekerjaan kerana tidak perlu pergi banyak tempat terutama ketika harga minyak mula naik,” ujarnya.

Bagi Eksekutif Sumber Manusia syarikat logistik Evolution Commerce Sdn Bhd, Laila Atiqah Raduan berkata lebih 10 perjawatan ditawarkan antaranya pemandu lori dan van.
“Kita merupakan syarikat kurier dan memerlukan lebih ramai pekerja. Mereka tidak perlu membawa resume sebaliknya datang membawa lesen sahaja dan jika berkelayakan akan diterima bekerja.
“Bagi saya karnival kerjaya ini amat bagus kerana platform memudahkan kedua-dua pihak selain dapat bersemuka terus dengan calon,” ujarnya.
Kerajaan Negeri merancang sembilan siri Jelajah JobCare tahun ini, bermula di Kuala Langat sebagai usaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.
Karnival itu menyasarkan sehingga 40,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, selain menampilkan dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar memaklumkan karnival jelajah itu akan ditambah baik tahun depan, termasuk melibatkan program pensijilan dan pembangunan kemahiran.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan dalam usaha menangani isu pengangguran.











