SHAH ALAM, 10 JUN: Semakin banyak majikan kini menunjukkan keterbukaan untuk mengambil pekerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) menerusi pelbagai peluang pekerjaan yang lebih inklusif dan bersesuaian dengan keupayaan mereka.
Perkembangan itu dapat dilihat menerusi penyertaan pelbagai syarikat swasta dan agensi kerajaan pada Karnival Kerjaya yang berlangsung sempena Majlis Pelancaran Dasar OKU Selangor 2026-2030 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.
Wakil Maha Partners & Co, Siti Zulaikha Jamaludin berkata syarikatnya menawarkan pelbagai jawatan kepada calon OKU berdasarkan kesesuaian kemahiran dan kemampuan individu.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang disediakan tidak hanya tertumpu kepada bahagian khidmat pelanggan, malah merangkumi bidang sumber manusia, pematuhan, pentadbiran, reka bentuk serta analisis data.

“Kita mahu menghapuskan stigma bahawa golongan OKU berbeza daripada pekerja lain kerana mereka juga mempunyai kemahiran, bakat dan kebolehan tersendiri yang boleh menyumbang kepada organisasi,” katanya.
Beliau berkata syarikatnya sebelum ini turut menggaji pekerja OKU dan sentiasa mengamalkan dasar pengambilan pekerja yang inklusif.
Sementara itu, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Redza Azmil Radzuan berkata penyertaan pihaknya dalam program berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam sektor awam kepada golongan OKU.
Katanya, calon OKU tidak dipinggirkan dalam proses pengambilan penjawat awam dan layak memohon jawatan melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9).
“Kita turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan pemilihan jawatan, syarat kelayakan dan proses permohonan supaya lebih ramai calon OKU berani merebut peluang kerjaya dalam sektor kerajaan,” katanya.







