SHAH ALAM, 10 OGOS: Seramai 1,641 pencari kerja berjaya ditawarkan pekerjaan menerusi Mega JobCare Selangor 2026 bersama MYFutureJobs.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata program di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu turut merekodkan lebih 20,000 kunjungan, sekali gus menjadikannya antara platform kerjaya terbesar di Selangor.
"Lebih membanggakan, seramai 1,641 calon berjaya memperoleh pekerjaan manakala 2,774 calon lagi berjaya mara ke peringkat temu duga kedua.
"Program yang berlangsung pada 8 dan 9 Ogos lalu itu menghimpunkan 147 majikan dengan lebih 11,000 peluang pekerjaan ditawar dalam pelbagai sektor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, 98.4 peratus daripada keseluruhan kekosongan adalah bagi penempatan di Selangor, manakala 62.2 peratus menawarkan gaji melebihi RM3,000.
"Ini membuktikan usaha berterusan untuk menyediakan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan lebih tinggi kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, program berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan termasuk padanan pekerjaan, temu duga terbuka, pengambilan pekerja pada hari sama, MYFutureJobs On-The-Go, klinik resume dan kaunseling kerjaya.
"Program ini turut merangkumi program peningkatan kemahiran, Program Transisi Kerjaya Platform Selangor (PLATS), pocket talks serta penyediaan pelbagai perkhidmatan kerajaan oleh agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan, meningkatkan kebolehpasaran diri dan membina masa depan kerjaya yang lebih mampan," ujarnya.
Papparaidu menambah pelaksanaan Mega JobCare Selangor bukan sahaja membuka akses kepada peluang pekerjaan lebih luas, malah menjadi platform pembangunan kerjaya yang komprehensif bagi rakyat Selangor.
"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Kerjaya Selangor menerusi kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pihak industri, agensi kerajaan dan rakan pelaksana," katanya.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penambahbaikan program jelajah karnival kerjaya termasuk menerusi program pensijilan dan pembangunan kemahiran.
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai antara usaha Kerajaan Negeri menangani isu pengangguran.







