SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri menegaskan dasar perumahan di Selangor dibangunkan secara menyeluruh dan mampan bagi memenuhi keperluan rakyat, bukan sekadar menumpukan kepada pembinaan rumah semata-mata.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pendekatan itu membuktikan pentadbiran negeri membentuk ekosistem perumahan yang merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, pembiayaan serta penawaran yang selaras dengan keperluan semasa.
“Sebagai negeri penyumbang utama ekonomi negara serta mempunyai populasi melebihi tujuh juta penduduk, Selangor berdepan tekanan permintaan terhadap perumahan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
“Pertambahan penduduk, penghijrahan tenaga kerja, pembangunan bandar yang pesat serta pertumbuhan ekonomi menjadikan cabaran perumahan di Selangor lebih kompleks dan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah rumah yang siap dibina semata-mata,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani isu perumahan.
Borhan berkata dakwaan itu tidak tepat kerana tidak menggambarkan keseluruhan usaha yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sektor perumahan di negeri ini.
Katanya, dasar perumahan Selangor juga tidak bersifat satu dimensi, sebaliknya menyediakan pelbagai laluan kepada rakyat untuk memiliki kediaman.
“Dasar perumahan Selangor merangkumi laluan pemilikan menerusi Rumah Selangorku, Rumah Idaman MBI, Rumah Selangorku Harapan dan Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, selain laluan sewaan melalui Skim Smart Sewa.
“Sebarang penilaian terhadap dasar perumahan Kerajaan Negeri perlu dibuat secara menyeluruh dan berpandukan fakta, bukannya berdasarkan sebahagian statistik tanpa memahami konteks sebenar perancangan, pelaksanaan serta cabaran pembangunan perumahan di Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Faizzuddin mendakwa Selangor merekodkan 3,745 unit kediaman siap dibina tetapi masih gagal dijual, antara jumlah tertinggi di negara ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan harga rumah di Johor tinggi disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, sambil mendakwa Selangor turut berdepan situasi sama.
Muhammad Faizzuddin turut mendakwa sebanyak 186,231 unit atau 73.15 peratus projek perumahan masih berada pada peringkat perancangan dan kelulusan teknikal, manakala 25,592 unit lagi masih dalam pembinaan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai golongan muda terus menyewa kerana sukar memiliki rumah sendiri susulan harga pasaran yang tinggi dan kelewatan projek rumah mampu milik disiapkan.







