SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Rumah Urut di sekitar Ampang, Rabu lalu.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 13 premis rumah urut diperiksa dalam operasi yang bermula jam 8 malam itu.
Operasi menerusi Jabatan Penguatkuasaan MPAJ dilaksanakan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat.
Menurutnya, tiada tangkapan dilakukan oleh JAIS dan PAID Hulu Langat sepanjang pemeriksaan dijalankan.
“Operasi ini bertujuan memastikan premis rumah urut beroperasi mengikut undang-undang, syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu di Facebook.
MPAJ memaklumkan operasi bersepadu berkenaan berlangsung lancar hasil kerjasama erat semua agensi terlibat.
Pihak berkuasa tempatan itu akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan bersepadu bagi meningkatkan tahap pematuhan pemegang lesen serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat dan kondusif.







