SEGEMUK III platform perkukuh gastronomi Melayu

16 Apr 2026, 3:00 AM
SEGEMUK III platform perkukuh gastronomi Melayu
SEGEMUK III platform perkukuh gastronomi Melayu

HULU LANGAT, 16 APR: Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) kali ketiga dengan kerjasama Media Selangor dilihat sebagai langkah strategik memperluas jalinan antara akademik, industri dan media.

Pengerusinya Dr Mohd Faizal Musa berkata kerjasama dengan agensi media negeri itu penting dalam membantu mempromosikan usaha memartabatkan warisan makanan tempatan kepada khalayak lebih luas.

Bukan hanya meningkatkan kesedaran masyarakat, malah jelasnya, ia membuka ruang kerjasama lebih besar termasuk menarik minat kerajaan dan pemegang taruh untuk menyokong inisiatif gastronomi.

“Selalunya apabila kita bercakap tentang warisan makanan, fokus hanya tertumpu kepada agensi tertentu sahaja. Jadi melalui seminar ini, kita cuba wujudkan sinergi lebih luas melibatkan pelbagai pihak termasuk industri dan media,” katanya kepada Media Selangor.

Temuramah bersama Pengerusi Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) Juga Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Faisal Tehrani di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi pada 6 April 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dr Mohd Faizal yang juga Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan SEGEMUK III dijadual berlangsung 6 Mei depan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue .

Bertema “Juadah Asli VS Lakuran”, seminar satu hari itu menurutnya, bakal menghimpunkan kira-kira 200 peserta serta 30 pembentang daripada pelbagai latar belakang.

“Penganjuran seminar ini penting dalam mengangkat gastronomi Melayu sebagai satu bidang ilmu yang serius dan menyeluruh, merangkumi aspek sains, seni, budaya serta etika pemakanan.

“Gastronomi bukan sekadar resipi. Ia melibatkan proses bersifat sains seperti teknik memasak dan penapaian, manakala hasil akhirnya seni yang dinikmati melalui rasa dan pengalaman,” katanya.

Beliau menjelaskan konsep itu dapat dilihat dalam penyediaan makanan tradisional seperti dodol atau makanan peram, yang memerlukan pemahaman saintifik sebelum diterjemahkan kepada kulinari.

Selain itu, katanya, gastronomi turut merangkumi aspek budaya termasuk etika pemakanan masyarakat Melayu yang mempunyai susunan tersendiri dalam menikmati hidangan.

“Dalam tradisi Melayu, kita makan yang manis dahulu sebelum hidangan berat, berbeza dengan amalan Barat yang meletakkan pencuci mulut di akhir hidangan. Ini menunjukkan gastronomi juga berkait rapat dengan identiti dan budaya,” katanya.

Seminar Gastronomi Melayu Kebangsaan II (SEGEMUK) 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1 Oktober 2024. Foto Facebook Institut Alam & Tamadun Melayu ATMA UKM

Dr Mohd Faizal menambah seminar itu turut menjadi platform penting pembentangan kajian, perbincangan akademik serta perkongsian ilmu cef profesional, pelajar dan usahawan industri makanan.

“Usaha ini juga penting dalam mendokumentasikan makanan tradisional supaya tidak hilang ditelan zaman, selain memastikan warisan kulinari negara terus dipelihara,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai seminar tersebut boleh mendaftar melalui pautan forms.gle/QLEK2LG2XoPfXFAG6 atau laman sesawang tinyurl.com/segemuk2026

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.