SHAH ALAM, 10 JULAI: Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau IOI City Mall, Putrajaya mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, bagaimanapun, kebenaran kepada surau di bawah pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang itu hanya bersifat sementara.
Senator Dato’ Seri Salehuddin Saidin menjelaskan kebenaran yang berkuat kuasa mulai 6 September 2024 diputuskan menerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Kebenaran diberikan selepas pemeriksaan dan penelitian di lokasi mendapati premis tersebut mempunyai ramai kakitangan beragama Islam selain turut menerima pengunjung lelaki Islam.
“Mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis tersebut.
“Masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Masjid UNITEN, yang masing-masing terletak lebih tujuh kilometer dari premis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Salehuddin, kedua-dua masjid berkenaan juga tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai ketika solat Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan akan ditamatkan apabila sebuah masjid baharu berhampiran premis itu siap dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah.
“MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam,” katanya.
Pada Rabu, Sultan Sharafuddin tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini untuk diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Ketetapan itu dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang mengalu-alukan pelaksanaan solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara berikutan sambutan positif di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
Menurut Dr Zulkifli, inisiatif itu dilaksanakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), selaras dengan bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.







