Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah

8 Jul 2026, 2:43 AM
Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah

SHAH ALAM, 8 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Salehuddin Saidin berkata ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor kerana perkara berkaitan masjid dan surau berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Di Negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat apa-apa ketetapan berhubung pentadbiran agama Islam termasuk kebenaran solat Jumaat bagi surau atau musolla.

“Justeru, selaras dengan kuasa prerogatif tersebut, Baginda tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata ketetapan itu dibuat bagi memastikan fungsi masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam terus diperkukuh di samping mengelakkan pengurangan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada.

“Jika surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan ibadah itu di premis berkenaan.

“Pada masa ini, Selangor mempunyai 448 masjid dan 379 surau yang diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat, dan jumlah itu disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan,” ujar beliau.

Salehuddin berkata kebanyakan pusat beli-belah di Selangor mempunyai masjid atau surau solat Jumaat yang terletak berhampiran sekali gus memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut.

Selain itu, aspek pengurusan, pelantikan imam, bilal dan petugas serta pemantauan pelaksanaan khutbah Jumaat mengikut garis panduan MAIS turut menjadi antara pertimbangan sebelum sebarang kebenaran diberikan.

Menurut Salehuddin, ketika ini hanya sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran, namun kebenaran itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berdekatan.

Beliau menegaskan ketetapan Sultan Selangor itu selaras dengan syiar Islam yang meletakkan masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan dakwah selain menyeru umat Islam terus mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negeri.

Terdahulu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan pelaksanaan solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara susulan sambutan positif di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaras bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.