SHAH ALAM, 10 JULAI: Selangor terus memperluas jaringan ekonomi dan pelaburan di peringkat serantau menerusi kerjasama strategik bersama Indonesia dalam penganjuran sulung Selangor Business Summit@ASEAN Bandung 2026.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata delegasi Selangor mengadakan pertemuan strategik di Jakarta bersama wakil kementerian Indonesia dan Danantara Indonesia bagi memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia.
Menurutnya, perbincangan turut mengetengahkan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 dan SIBS@ASEAN Bandung 2026 sebagai platform memperkukuh kerjasama perniagaan serta pelaburan serantau.
“Antara sektor tumpuan termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), pembuatan termaju, ekonomi digital, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, logistik, industri halal dan pembangunan bakat.
“Pertemuan itu turut membuka peluang memperkukuh kerjasama industri, pertukaran teknologi serta pembangunan rantaian bekalan serantau antara Selangor dan Indonesia,” katanya menerusi Facebook.
Sze Han berkata, kerjasama ekonomi Selangor-Indonesia berpotensi diperluas berdasarkan kekuatan masing-masing dalam pasaran ASEAN khususnya menerusi sektor industri bernilai tinggi, teknologi serta pembangunan rantaian bekalan serantau.
Menurutnya, Indonesia sebagai ekonomi terbesar ASEAN dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$1.5 trilion menawarkan pasaran luas manakala Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor pembuatan termaju, teknologi dan industri bernilai tinggi.
Katanya, gabungan kekuatan kedua-dua negara mampu membuka peluang pelaburan baharu, memperkukuh rantaian nilai serantau serta menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang ASEAN.
Sze Han berkata kerjasama itu turut mencerminkan komitmen Selangor dan Indonesia dalam memperluas hubungan perdagangan, pelaburan serta perkongsian strategik menerusi SIBS@ASEAN Bandung 2026.








