BANDUNG, 9 JULAI: Kerjasama antara Selangor dan Jawa Barat akan diteruskan selepas penganjuran sulung Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN) di Bandung, dengan kedua-dua pihak bersetuju mempergiat kerjasama dalam pelaburan, perdagangan dan sektor strategik.
Timbalan Gabenor Jawa Barat Erwan Setiawan berkata SIBS@ASEAN menjadi pemangkin kepada hubungan jangka panjang yang lebih kukuh antara kedua-dua wilayah, selain mengalu-alukan lebih banyak syarikat Malaysia melabur di Jawa Barat.
"Saya yakin acara ini akan terus memperkukuh kerjasama erat antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Wilayah Jawa Barat," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan SIBS@ASEAN di Hotel Pullman Bandung Grand Central, hari ini.
Erwan berkata Malaysia kekal sebagai antara pelabur asing terbesar di Jawa Barat, selain tersenarai dalam 10 destinasi eksport utama wilayah berkenaan.
Beliau turut memaklumkan pelancong Malaysia menyumbang 12.5 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa ke Jawa Barat.
"Dalam tempoh lima tahun lalu, nilai pelaburan Malaysia di Jawa Barat mencecah 47 trilion rupiah (RM10.5 bilion).
"Lebihan dagangan Jawa Barat dengan Malaysia pula mencatat AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion), sekali gus membuktikan hubungan perdagangan yang kukuh antara kedua-dua pihak," katanya.
Beliau menyifatkan SIBS@ASEAN sebagai peluang terbaik untuk pelabur dan delegasi dari Selangor serta negara lain meneroka kerjasama jangka panjang dalam pelbagai sektor.
"Marilah kita membina kerjasama yang nyata, daripada sektor pembuatan, infrastruktur mampan, tenaga boleh baharu, ekonomi kreatif hinggalah teknologi maklumat," katanya.
Menurut Erwan, Jawa Barat mempunyai asas pelaburan yang kukuh dengan jumlah penduduk melebihi 50 juta orang, majoritinya berada dalam usia produktif.
Katanya, keadaan itu menjadikan Jawa Barat bukan sahaja pasaran yang besar, malah sumber tenaga kerja mahir yang mampu menyokong keperluan pelabur.
Beliau berkata wilayah itu turut disokong infrastruktur strategik seperti Pelabuhan Antarabangsa Patimban, Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati serta rangkaian lebuh raya utama termasuk Cisumdawu dan Cipali yang meningkatkan kecekapan logistik serta hubungan pengangkutan.
Erwan berkata ekonomi Jawa Barat berkembang 5.79 peratus pada suku pertama 2026, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional Indonesia sebanyak 5.61 peratus.
Menurutnya, kerajaan wilayah itu terus mempromosikan pelaburan yang mampan dan inklusif menerusi kepastian perundangan, pembangunan infrastruktur strategik, pembangunan modal insan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usaha memudah cara urusan perniagaan.
"Jawa Barat bersedia menjadi rumah kedua bagi perkembangan perniagaan anda. Kerajaan wilayah akan sentiasa bertindak sebagai pemudah cara dan pelindung kepada setiap usaha yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.









