BANDUNG, 9 JULAI: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dianjurkan di luar negara menerusi SIBS@ASEAN 2026, yang menghimpunkan lebih 400 delegasi dari Malaysia dan Indonesia di Bandung, hari ini.
Penganjuran edisi sulung SIBS@ASEAN itu membuka lembaran baharu dalam usaha Selangor memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik dengan Jawa Barat.
Sidang kemuncak selama dua hari yang berlangsung di Pullman Grand Central Bandung dianjurkan oleh Invest Selangor Berhad dengan sokongan Dinas Penanaman Modal dan Pelayanan Terpadu Satu Pintu (DPMPTSP) Jawa Barat serta rakan strategik serantau.
SIBS@ASEAN dijangka menghimpunkan 225 peserta dari Malaysia dan 200 peserta dari Indonesia, terdiri daripada pemimpin kerajaan, pelabur, komuniti perniagaan dan pemain industri.
Tumpuan utama program ialah Ekspo Pelancongan Perubatan dan Pendidikan Selangor yang dianjurkan bersama oleh Tourism Selangor dan Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan penyertaan 30 reruai daripada penyedia perkhidmatan kesihatan dan institusi pendidikan Malaysia.
Memandangkan rakyat Indonesia merupakan kumpulan terbesar pelancong perubatan ke Selangor, ekspo itu dijangka mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan kesihatan berkualiti dan pendidikan tinggi, selain memperluas kerjasama institusi antara kedua-dua negara.
Antara institusi yang mengambil bahagian ialah Pusat Perubatan Sunway, Pusat Perubatan Subang Jaya, Hospital Pakar KPJ Rawang, MSU Medical Centre, Universiti Selangor (UNISEL), Taylor's University, UCSI University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi akan merasmikan SIBS@ASEAN hari ini, disaksikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han serta Datuk Bandar Bandung Muhammad Farhan.
Hari pertama sidang kemuncak itu turut menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU), termasuk kerjasama melibatkan Tourism Selangor, Wanita Berdaya Selangor (WBS), UNISEL dan rakan sejawatan dari Indonesia dalam bidang pelancongan, pendidikan, pemerkasaan wanita, pembangunan bakat serta teknologi.
Program itu turut menampilkan pembentangan mengenai peluang pelaburan di Selangor dan Jawa Barat, selain forum mengenai integrasi rantaian bekalan ASEAN, mobiliti bakat rentas sempadan dan landskap perniagaan serantau.
Pada hari kedua, delegasi Selangor dijadual melawat beberapa kawasan perindustrian di Jawa Barat bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor aeroangkasa, rel dan mobiliti, industri kreatif, tenaga, pembangunan hartanah serta teknologi.
Semalam, Amirudin mengetuai delegasi Selangor mengadakan beberapa pertemuan peringkat tertinggi, termasuk kunjungan hormat kepada Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso, Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia Faisol Riza dan wakil dana kekayaan negara Indonesia, Danantara Indonesia.
Sejak diperkenalkan pada 2015, SIBS berkembang menjadi platform perdagangan dan pelaburan utama Selangor yang menghimpunkan syarikat, pelabur dan pembuat dasar dari seluruh dunia.
Sidang kemuncak tahunan itu turut memudah cara potensi perdagangan dan pelaburan bernilai berbilion ringgit serta memperkukuh peranan Selangor sebagai pintu masuk pilihan bagi kerjasama perniagaan serantau dan pertumbuhan ekonomi.







