SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan Selangor meneliti pengalaman pembangunan dan operasi perkhidmatan rel berkelajuan tinggi Whoosh di Indonesia sebagai rujukan dalam merancang sistem rel yang lebih cekap serta bersepadu di negeri ini.
Exco Mobiliti Ng Sze Han berkata lawatan mobiliti kedua diadakan di ibu pejabat PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) di Halim, Jakarta bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai pembangunan dan operasi Whoosh, perkhidmatan rel berkelajuan tinggi pertama di Indonesia yang menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Menurut beliau, delegasi Selangor disambut Presiden Pengarah KCIC, Dwiyana Slamet Riyad yang berkongsi pengalaman mengenai perancangan, pelaksanaan dan operasi projek Whoosh.
“Perbincangan turut menyentuh peranan KCIC dalam membangunkan dan mengendalikan rangkaian rel berkelajuan tinggi selain pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi menyokong pembangunan bandar dan sistem pengangkutan yang lebih bersepadu.

“Ia turut merangkumi operasi rel berkelajuan tinggi, integrasi pengangkutan pelbagai mod, pelaksanaan TOD serta aspek tadbir urus dan pembiayaan projek infrastruktur pengangkutan berskala besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sze Han berkata ketika Selangor meneruskan perancangan Selangor Rail Line, sesi libat urus itu memberikan input berguna berkaitan pembangunan rel, perancangan pengangkutan bersepadu dan mobiliti mampan.
Katanya, pertukaran pandangan tersebut turut membuka ruang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, saling berhubung dan bersedia memenuhi keperluan masa depan.
Sze Han kini berada di Bandung, Indonesia bagi mengiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) @ASEAN yang berlangsung hari ini.







