BANDUNG, 9 JULAI: Kerajaan Negeri merancang memperluaskan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)@ASEAN ke lebih banyak bandar di rantau ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang, susulan pelancaran edisi sulungnya di Bandung, Indonesia hari ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata peluasan itu mencerminkan peranan SIBS sebagai pintu masuk bagi memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik serantau.
Menurut beliau, penganjuran SIBS@ASEAN pada masa hadapan tidak akan tertumpu kepada satu lokasi sahaja, sebaliknya berpotensi diadakan secara bergilir di bandar-bandar ASEAN berdasarkan kerjasama dan peluang yang dikenal pasti.
“SIBS ialah pintu masuk ke Asia. Kami akan mendekati bandar-bandar terpilih dan bekerjasama dengan rakan strategik untuk menjadikannya tuan rumah pada masa hadapan,” katanya ketika ditanya mengenai perancangan Selangor memperluaskan penganjuran sidang kemuncak itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan SIBS@ASEAN Bandung 2026 di Pullman Grand Central, Bandung hari ini.

Tambah Amirudin, bandar yang berbeza boleh dipilih sebagai tuan rumah bagi memperkukuh kerjasama, dialog dan pembangunan ekonomi di seluruh rantau.
Beliau turut menegaskan hubungan Selangor dengan Indonesia serta rakan-rakan ASEAN tidak seharusnya terhad kepada perdagangan dan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi platform kerjasama serantau yang lebih tersusun dan berterusan.
Mengulas siri pertemuan delegasi Selangor bersama pegawai kerajaan Indonesia sebelum pelancaran SIBS@ASEAN Bandung 2026, Amirudin berkata perbincangan tertumpu kepada usaha mewujudkan libat urus antara Selangor dengan kementerian di Indonesia serta berpotensi melibatkan kerajaan wilayah bagi memperluas kerjasama strategik.
Menurut beliau, kerjasama itu perlu melangkaui hubungan perniagaan konvensional, manakala setiap idea yang dibincangkan harus diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.
“Pertemuan ini membuktikan komitmen kita untuk membina keselamatan serantau secara bersama, yang boleh diperluaskan kepada bidang seperti tenaga dan juga kerjasama berkaitan pertahanan.
“Perbincangan ini perlu disusuli dengan tindakan dan pelaksanaan yang sewajarnya supaya idea-idea yang dibangkitkan dapat dibangunkan serta direalisasikan,” katanya.
Amirudin berkata kerjasama serantau juga perlu diperkukuh di pelbagai peringkat, termasuk kerajaan dengan kerajaan, jabatan dengan jabatan, perniagaan dengan perniagaan serta hubungan sesama rakyat.
SIBS@ASEAN Bandung 2026 bertujuan memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara Selangor dengan Indonesia, selain menjadi platform memperluas jaringan kerjasama di peringkat ASEAN.









