BANDUNG, 9 JULAI: Kerjasama strategik antara Selangor dan Jawa Barat dijangka mempercepat transformasi industri di kedua-dua wilayah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han.
Berucap pada forum Selangor International Business Summit (SIBS@ASEAN), Sze Han berkata peluasan SIBS ke peringkat serantau selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dilaksanakan kerajaan negeri, dengan memberi tumpuan kepada transformasi digital dan pembangunan industri bernilai tinggi.
"Melalui kerjasama dengan Jawa Barat, kita berharap dapat memperkukuh ekosistem digital serta mempercepat transformasi industri di kedua-dua wilayah.
"Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Selangor dan Jawa Barat, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata forum itu menjadi pencapaian penting dalam usaha Selangor memperluas rangkaian ekonomi serantau, sekali gus membantu syarikat dan pelabur yang beroperasi di negeri itu menembusi pasaran Asia Tenggara.
Menurutnya, kerjasama antara Selangor dan Jawa Barat bukan sekadar mengukuhkan hubungan ekonomi, malah mempererat hubungan budaya dan sejarah yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
"SIBS@ASEAN merupakan satu langkah penting untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam ASEAN dengan menggalakkan perdagangan dan pelaburan di peringkat subnasional, termasuk antara negeri, wilayah dan bandar," katanya.
Sze Han berkata SIBS kini muncul sebagai platform perdagangan dan pelaburan yang semakin penting di rantau ini, dengan edisi 2025 berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung serta menjana potensi transaksi bernilai RM8.15 bilion.
"Berdasarkan kejayaan itu, kami memperluaskan SIBS ke peringkat ASEAN dengan memilih Jawa Barat sebagai lokasi antarabangsa pertama bagi inisiatif ini," katanya.
Beliau turut menyifatkan kepimpinan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari sebagai pemacu utama kepada peluasan SIBS ke peringkat serantau sehingga menjadi platform pelaburan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"Peluasan SIBS ke ASEAN mencerminkan komitmen beliau untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau," katanya.
Sze Han turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jawa Barat, Pentadbiran Bandar Bandung, Agensi Pengurusan Metropolitan Rebana, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Indonesia (KADIN), KADIN Jawa Barat, Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) serta rakan strategik lain yang bekerjasama dengan Invest Selangor Berhad sejak tahun lalu bagi merealisasikan penganjuran SIBS@ASEAN.
Beliau berkata kehadiran Selangor di Bandung juga selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meletakkan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.
Menurutnya, usahawan, pelabur dan pemain industri tempatan serta antarabangsa boleh menjadikan Selangor sebagai pangkalan untuk mengembangkan operasi ke seluruh rantau ini, termasuk ke Bandung.
Ng berkata SIBS turut selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan pembangunan lima tahun negeri yang memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi, pemerkasaan sosial, pembangunan mampan dan tadbir urus yang cekap.
Beliau berharap forum SIBS@ASEAN menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama perniagaan dan peluang pelaburan antara Selangor dan Jawa Barat.







