NUTP gesa latihan pengurusan krisis diwajibkan di sekolah

13 Jul 2026, 3:00 AM
NUTP gesa latihan pengurusan krisis diwajibkan di sekolah
NUTP gesa latihan pengurusan krisis diwajibkan di sekolah

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kursus dan latihan pengurusan krisis perlu diwajibkan di semua sekolah bagi memastikan guru bersedia menghadapi insiden kecemasan, selain mampu mengesan murid berisiko lebih awal.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata latihan itu perlu melibatkan guru, guru disiplin, guru bimbingan dan kaunseling serta Unit Hal Ehwal Murid (HEM) memandangkan mereka berada di barisan hadapan dalam menguruskan keselamatan dan kebajikan murid.

Menurutnya, insiden keganasan yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini membuktikan latihan pengurusan krisis tidak lagi boleh dipandang ringan.

"Saya setuju latihan perlu diberikan. Sekarang ini guru di Malaysia sangat kurang menerima latihan dalam pelbagai aspek kerana kekangan kos.

"Kalau ada latihan pun kebanyakannya dibuat secara dalam talian. Memanglah ia kurang berkesan. Sedangkan isu seperti ini memerlukan latihan secara praktikal," katanya kepada Media Selangor.

Fouzi berkata latihan berkenaan perlu memberi penekanan kepada keupayaan mengenal pasti murid berisiko, mengurus konflik serta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi kecemasan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon.

"Apabila sesuatu isu berlaku, guru perlu tahu apa tindakan yang perlu dibuat mengikut SOP. Begitu juga murid perlu dilatih bagaimana hendak bertindak ketika berdepan situasi kecemasan," ujarnya.

Beliau berkata latihan pengurusan krisis wajar dijalankan secara berkala seperti latihan kebakaran supaya guru dan murid dapat bertindak dengan tenang apabila berdepan kejadian sebenar.

"Kalau tiba-tiba ada murid membawa senjata masuk ke kelas, saya percaya ramai akan panik. Murid akan berebut untuk menyelamatkan diri dan guru juga mungkin tidak tahu tindakan paling sesuai ketika itu.

"Sebab itu latihan menangani krisis sangat penting. Kita perlu membuat jangkaan terhadap risiko yang mungkin berlaku dan melatih semua warga sekolah supaya tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Menurut Fouzi, negara yang sering berdepan bencana seperti gempa bumi atau tsunami melaksanakan latihan kecemasan secara berkala sehingga menjadi amalan dalam kalangan murid dan guru.

Katanya, pendekatan sama wajar diterapkan di Malaysia bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan sekolah menghadapi sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan pemantauan terhadap murid berisiko dipertingkat menerusi kerjasama semua pihak di sekolah, termasuk guru, pengawal keselamatan dan ibu bapa.

Cadangan pemeriksaan beg pelajar di pintu masuk sekolah dan pemasangan CCTV bagi memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan. Gambar janaan AI

"Mungkin hanya dua atau tiga peratus murid di sesebuah sekolah dikategorikan berisiko, tetapi mereka inilah yang perlu diberikan perhatian. Semua pihak perlu tahu dan peka.

"Kalau ada murid digantung sekolah, semua guru, guru bertugas, pengawal keselamatan dan ibu bapa perlu tahu tempoh penggantungan itu supaya jika murid berkenaan hadir ke kawasan sekolah, tindakan segera dapat diambil," ujarnya.

Fouzi berkata langkah itu bukan bertujuan menghukum murid, sebaliknya memastikan keselamatan semua warga sekolah sentiasa terpelihara serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun berpandangan pemeriksaan mengejut (spot check) setiap hari bukan penyelesaian yang praktikal kerana memerlukan penglibatan ramai guru dan boleh menjejaskan kelancaran sesi persekolahan.

"Secara teori memang mudah untuk mencadangkan pemeriksaan dibuat setiap hari. Tetapi dari segi pelaksanaan, sekolah yang mempunyai 3,000 hingga 4,000 murid berdepan cabaran besar.

"Sebab itu latihan, kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak lebih penting supaya sekolah sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.