Muflis: Akses pinjaman mudah antara punca ramai guru terjerat hutang - NUTP

20 Jan 2026, 12:57 PM
Muflis: Akses pinjaman mudah antara punca ramai guru terjerat hutang - NUTP
Muflis: Akses pinjaman mudah antara punca ramai guru terjerat hutang - NUTP
Muflis: Akses pinjaman mudah antara punca ramai guru terjerat hutang - NUTP

SHAH ALAM, 20 JAN: Akses yang mudah kepada pelbagai skim pinjaman dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada masalah keberhutangan serius dalam kalangan guru sehingga ada yang berdepan risiko muflis.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata isu itu bukan bersifat terpencil atau hanya tertumpu di Selangor, sebaliknya melibatkan guru di seluruh negara.

Beliau berkata kes membabitkan skim pelaburan dikenali sebagai CSA Academy sebelum ini mendedahkan kira-kira 1,700 guru di seluruh Malaysia terlibat, sekali gus menggambarkan tahap kerentanan kewangan dalam kalangan warga pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon

“Selangor sering menjadi tumpuan kerana jumlah guru di negeri ini tinggi, dianggarkan mencecah lebih 40,000 orang, selain faktor rangkaian sosial guru yang luas menyebabkan sesuatu tawaran kewangan atau pelaburan mudah tersebar dalam komuniti sekolah.

“Guru secara psikologi juga mempunyai ciri ‘enterprising’, cenderung kepada perniagaan dan peluang keuntungan. Sifat ini menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh dengan skim pelaburan atau pinjaman yang menjanjikan pulangan cepat,” katanya kepada Media Selangor.

Sehubungan itu, Fouzi menegaskan kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan khususnya dalam proses kelulusan pinjaman, termasuk peranan ketua jabatan untuk membuat penilaian lebih teliti dan tidak meluluskan permohonan secara automatik tanpa justifikasi kukuh.

Selain itu, NUTP turut menggesa Bank Negara Malaysia supaya memperketat pemantauan terhadap institusi kewangan yang didakwa terlalu mudah meluluskan pinjaman kepada penjawat awam sehingga melebihi kemampuan sebenar peminjam.

Beliau turut mendedahkan terdapat kes guru, khususnya wanita, yang terbeban hutang selepas dipengaruhi pasangan untuk membuat pinjaman bagi tujuan perniagaan, namun akhirnya terpaksa menanggung kesan kewangan seorang diri.

Mengulas kesan kebankrapan terhadap profesion perguruan, Fouzi berkata tekanan emosi akibat masalah kewangan boleh menjejaskan motivasi, prestasi serta kesejahteraan mental guru, sekali gus memberi impak negatif kepada murid dan persekitaran sekolah.

“Dicadangkan supaya wujud kerjasama bersepadu antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan NUTP untuk turun padang menganjurkan kursus pengurusan kewangan, khususnya kepada guru baharu, dengan melibatkan individu berpengalaman sebagai contoh dan peringatan.

“Guru juga diingatkan supaya berbelanja secara berhemah, mengurus kewangan dengan cermat serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang kelihatan menguntungkan, memandangkan guru merupakan contoh dan tonggak penting dalam membentuk generasi masa depan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia Datuk Ishak Bakri memaklumkan Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan golongan guru antara penjawat awam yang paling ramai terlibat.

Beliau berkata komitmen pinjaman peribadi yang tinggi menjadi antara punca utama, selain menunjukkan golongan berpendapatan tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan berdasarkan data terkumpul dan program literasi kewangan yang dijalankan Jabatan Insolvensi Malaysia.