SHAH ALAM, 10 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka mengumumkan garis panduan baharu berkaitan keselamatan dan disiplin di sekolah tahun ini.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata garis panduan itu telah disediakan, namun masih di peringkat penelitian sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat bersama kementerian berkenaan yang dihadirinya kira-kira dua minggu lalu.
"Garis panduan telah dibuat oleh kementerian yang terbaharu. Cuma ia belum dikeluarkan lagi kerana masih di peringkat tertinggi. Kita perlu melihat dan menilai juga garis panduan baharu ini.
"Perubahan-perubahan itu saya sendiri belum dapat teliti sepenuhnya kerana ia masih belum dimuktamadkan.
"Insya-Allah dijangka dikeluarkan tahun ini selepas mendapat pandangan pelbagai pihak dan ditandatangani oleh menteri," katanya kepada Media Selangor.
Fouzi berkata antara perkara yang sedang diteliti ialah usaha memperkukuh aspek keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini, termasuk kes seorang pelajar ditikam di sebuah sekolah di Banting pada 6 Julai lalu.

Katanya, KPM turut menilai cadangan memperkemas kawalan keluar masuk kenderaan, laluan pergerakan murid serta prosedur keselamatan lain bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
"Contohnya berlaku kemalangan tempoh hari. Mungkin akan ada tempoh tertentu yang tidak membenarkan kenderaan asing memasuki kawasan sekolah, di samping memperkemas laluan murid dan kawalan kelajuan kenderaan di dalam kawasan sekolah," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata tahap kewaspadaan di sekolah perlu dipertingkatkan dengan memberi perhatian lebih rapi kepada murid yang dikenal pasti berisiko atau sedang dikenakan tindakan disiplin.
Menurutnya, maklumat mengenai murid yang digantung sekolah, termasuk tempoh penggantungan, perlu diketahui semua guru, pengawal keselamatan dan ibu bapa supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya murid terbabit memasuki kawasan sekolah.
"Murid yang berisiko jumlahnya tidak ramai, mungkin sekitar tiga peratus sahaja daripada keseluruhan murid di sesebuah sekolah. Namun, golongan ini perlu diberi perhatian.
"Kalau ada murid yang digantung sekolah, semua guru, pengawal keselamatan dan ibu bapa perlu tahu supaya semua pihak lebih bersedia sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pemeriksaan mengejut (spot check) semata-mata tidak semestinya mampu menghalang semua kejadian kerana murid yang berniat membawa senjata mungkin mencari jalan lain untuk mengelak pemeriksaan.
"Perkara ini memang terpencil, tetapi kita perlu sentiasa berwaspada kerana risikonya semakin meningkat," katanya.







