MCCC gesa wajibkan CCTV, pemeriksaan beg di pintu masuk sekolah

8 Jul 2026, 10:00 AM
MCCC gesa wajibkan CCTV, pemeriksaan beg di pintu masuk sekolah

SHAH ALAM, 8 Julai: Kerajaan disaran mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah serta melaksanakan pemeriksaan beg pelajar di pintu masuk sebagai langkah memperkukuh keselamatan dan mencegah insiden keganasan.

Cadangan itu dikemukakan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) yang berpandangan sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan dasar keselamatan yang lebih menyeluruh susulan beberapa kejadian membabitkan pelajar sejak kebelakangan ini.

Pengerusi MCCC Pahang Daniel Khoo berkata, pendekatan hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku tidak lagi memadai, sebaliknya usaha pencegahan perlu diperkukuh bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat selamat untuk semua.

"CCTV perlu diwajibkan di semua sekolah di Malaysia. Bukan hanya dipasang dalam kelas tetapi juga di koridor, laluan ke tandas, tangga, pintu masuk dan semua kawasan yang menjadi laluan pelajar.

"Di mana saja pelajar bergerak dalam kawasan sekolah, pemantauan melalui CCTV amat penting.

"Rakaman itu bukan saja membantu siasatan sekiranya berlaku sesuatu kejadian, malah mampu menghalang individu daripada melakukan jenayah kerana mereka mengetahui setiap pergerakan dirakam," katanya seperti dilapor BH.

Menurut Daniel, kerajaan juga perlu memastikan liputan CCTV mencukupi supaya tiada kawasan menjadi titik buta (blind spot) yang boleh menjejaskan pemantauan atau menyukarkan siasatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Daniel Khoo.

Katanya, pelaburan untuk mempertingkatkan sistem keselamatan sekolah tidak sepatutnya dianggap sebagai beban, sebaliknya satu keperluan demi melindungi nyawa pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Selain pemasangan CCTV, beliau turut mencadangkan semua sekolah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan keselamatan terhadap pelajar sebelum memasuki kawasan sekolah.

"Setiap sekolah perlu mempunyai pengawal keselamatan yang menjalankan pemeriksaan beg pelajar.

"Kita perlu memastikan tiada sesiapa membawa masuk senjata tajam seperti pisau atau apa-apa objek berbahaya yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

"Mungkin ada yang beranggapan langkah ini terlalu ketat, namun kita perlu melihat kepada kepentingan lebih besar, iaitu keselamatan pelajar. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada bertindak selepas tragedi berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Daniel berkata aspek keselamatan fizikal sahaja tidak mencukupi sekiranya kesejahteraan emosi pelajar terus diabaikan.

Beliau berkata ibu bapa, guru dan penjaga perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku remaja, termasuk mereka yang tiba-tiba menjadi pendiam, mengasingkan diri, mudah marah, hilang minat terhadap aktiviti harian atau menunjukkan perubahan emosi yang ketara.

"Jangan hanya menuding jari mencari siapa yang bersalah apabila sesuatu tragedi berlaku. Sebaliknya, tanyalah mengapa ia boleh berlaku dan apakah kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kejadian sama tidak berulang.

"MCCC percaya pencegahan bermula dengan komunikasi, keprihatinan dan kesediaan untuk mendengar. Kadangkala satu perbualan yang ikhlas sudah cukup untuk mengubah kehidupan seorang anak," katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang pelajar cedera selepas ditikam oleh seorang remaja perempuan di sebuah sekolah di Banting.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.