Aduan ibu bapa tekan guru, NUTP gesa semua kes disiplin direkod

13 Jul 2026, 1:00 AM
Aduan ibu bapa tekan guru, NUTP gesa semua kes disiplin direkod

SHAH ALAM, 9 JULAI: Semua kes disiplin murid di sekolah perlu didokumentasikan secara lengkap bagi melindungi guru daripada tekanan akibat aduan ibu bapa, selain memastikan setiap tindakan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata pendekatan itu penting susulan peningkatan kebimbangan dalam kalangan guru apabila tindakan teguran atau disiplin semakin kerap dipertikai, diviralkan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Sekarang ini bukan lagi zaman tindakan fizikal, sebaliknya zaman dokumentasi. Semua perkara perlu ada rekod.

"Contohnya murid tidak menyiapkan kerja rumah, lewat hadir atau melakukan kesalahan disiplin, semuanya perlu direkodkan dengan lengkap termasuk tarikh, jenis kesalahan dan tindakan yang telah diambil," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Fouzi, dokumentasi yang lengkap bukan sahaja melindungi guru, malah menjadi rujukan kepada pentadbir sekolah dan lembaga disiplin dalam membuat keputusan secara adil sekiranya timbul pertikaian.

Beliau berkata setiap kes disiplin perlu melalui prosedur ditetapkan, bermula dengan siasatan oleh guru disiplin sebelum dibawa ke mesyuarat lembaga disiplin bagi menentukan tindakan yang bersesuaian.

"Jika sesuatu kes didapati serius dan selepas melalui proses yang betul perlu dikenakan tindakan buang sekolah, maka keputusan itu perlu dilaksanakan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Rayuan boleh dipertimbangkan mengikut budi bicara, namun keputusan mestilah berdasarkan fakta dan tahap keseriusan kes, bukannya kerana ada pihak cuba mempertahankan murid yang melakukan kesalahan," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon.

Beliau berkata, kebanyakan tindakan guru dibuat berdasarkan peraturan sekolah yang termaktub dalam garis panduan disiplin, namun masih ada ibu bapa yang mempertikaikannya sehingga menyebabkan guru berasa serba salah untuk menguatkuasakan peraturan.

"Contohnya murid membawa air minuman masuk ke makmal komputer sedangkan perkara itu memang dilarang dalam peraturan sekolah. Ada juga kes murid ditegur kerana memakai alat solek atau pelembap bibir berwarna ke sekolah mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Namun apabila guru menegur, murid mengadu kepada ibu bapa sehingga perkara itu dibawa kepada pihak pengurusan sekolah. Akhirnya guru pula diminta memohon maaf walaupun hanya melaksanakan peraturan sedia ada," ujarnya.

Menurutnya, situasi sama turut berlaku apabila guru berdepan murid yang melakukan kesalahan di luar kawasan sekolah, termasuk merokok ketika masih memakai pakaian seragam.

"Kalau dulu murid merokok di luar kawasan sekolah pun guru masih boleh mengambil tindakan walaupun kejadian berlaku di luar pagar sekolah. Sekarang guru lebih berhati-hati kerana bimbang dipersoalkan.

"Saya sendiri pernah menerima aduan membabitkan seorang pegawai polis yang mengugut guru kerana memberi amaran dan tindakan disiplin terhadap anaknya. Ada juga kes peguam mengeluarkan surat tuntutan kepada pihak sekolah hanya kerana guru menegur murid," katanya.

Fouzi berkata, keadaan itu menyebabkan semakin ramai guru enggan mengambil risiko menegur salah laku murid kerana bimbang dikenakan tindakan atau menerima aduan daripada ibu bapa.

"Apabila guru menegur kesalahan murid tetapi akhirnya guru pula dipersalahkan, ia memberi tekanan kepada guru. Lama-kelamaan guru akan memilih untuk tidak campur tangan dan hanya menjalankan tanggungjawab mengajar.

"Kalau keadaan ini berterusan, sekolah akan berdepan masalah kerana guru tidak lagi berani menegur atau mengambil tindakan terhadap salah laku murid," tegasnya.

Pada masa sama, Fouzi berkata sekolah tidak wajar menyembunyikan kes disiplin semata-mata bagi menjaga nama baik institusi kerana keselamatan murid dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diberi keutamaan.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan prosedur pelaporan kes disiplin yang perlu dipatuhi semua sekolah, termasuk penyediaan laporan awal, laporan selepas siasatan serta laporan lengkap dalam tempoh yang ditetapkan.

"Sekarang ini kita tidak mahu lagi ada kes disorok untuk menjaga nama baik sekolah. Yang penting ialah keselamatan murid dan keharmonian sekolah.

"Jika ada kes serius tetapi gagal dilaporkan, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan terhadap pentadbir sekolah kerana semua sekolah perlu akur kepada SOP," tegasnya.

Sementara itu, Fouzi berharap ibu bapa terus memberi kerjasama kepada pihak sekolah kerana usaha membentuk disiplin, sahsiah dan kecemerlangan murid memerlukan tanggungjawab bersama.

"Tidak ada guru yang mahu anak muridnya gagal. Semua guru mahu murid berjaya, cemerlang dan berdisiplin.

"Tanpa kerjasama ibu bapa, hasrat itu tidak akan berjaya. Kerjasama erat semua pihak amat penting supaya generasi akan datang lebih beradab, berbudaya dan berdisiplin," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.