SHAH ALAM, 9 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka Taman Kucing MPAJ yang mula beroperasi 1 Julai lalu sebagai usaha menangani isu kacau ganggu berpunca daripada kucing terbiar di kawasan awam.
Pembukaan taman berkenaan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-34 MPAJ bertujuan menyediakan penempatan yang selamat, selesa dan terurus untuk kucing terbiar.
Inisiatif itu turut membantu mengurangkan gangguan kepada orang ramai selain mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan teratur.
Menurut MPAJ, penubuhan Taman Kucing MPAJ merupakan langkah proaktif untuk menyelamatkan kucing terbiar agar dapat dipelihara dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan kebajikan haiwan.
"Pengoperasian Taman Kucing MPAJ bukan bertujuan menjana keuntungan atau menambah hasil pendapatan majlis.
"Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MPAJ dalam memelihara kebajikan haiwan, memberikan penyelesaian lebih berperikemanusiaan," katanya menerusi hantaran Facebook.
Sehubungan itu, MPAJ menggesa penduduk setempat memberi sokongan dan kerjasama bagi memastikan inisiatif itu mencapai matlamat.
Pada masa sama, orang ramai diseru menjadi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dengan tidak membuang atau meninggalkan kucing di kawasan awam kerana tindakan tersebut menjejaskan kebajikan haiwan dan mengundang pelbagai masalah.
MPAJ berharap Taman Kucing MPAJ akan menjadi simbol komitmen pihak berkuasa tempatan dalam mewujudkan bandar yang lebih berdaya huni, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan haiwan serta kesejahteraan komuniti.







