RAWANG, 16 APRIL: Selangor tidak menetapkan sasaran nilai transaksi bagi edisi sulung Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) @ASEAN di Bandung, Indonesia pada Julai ini.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata langkah itu mencerminkan sifat penerokaan inisiatif berkenaan yang lebih tertumpu kepada pembinaan jaringan serantau berbanding pulangan komersial segera.
“Sub-acara di Bandung ini menandakan kali pertama SIBS diadakan di luar Selangor dan ia direka untuk membantu syarikat berpangkalan di Selangor meneroka pasaran antarabangsa yang lebih luas, khususnya dalam rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata ketika majlis perasmian kemudahan syarikat paparan China, SmartWin Electronics Technology di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu memberi keutamaan kepada usaha membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara serta meneroka peluang pasaran baharu, berbanding menarik pelaburan masuk ke Selangor.
“Program ini dijangka mengukuhkan peranan Selangor sebagai pemudah cara perniagaan serantau dengan mewujudkan peluang jaringan baharu antara pemain industri Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Sze Han turut menjelaskan selain akses pasaran, Kerajaan Negeri turut meletakkan inisiatif itu sebagai sebahagian strategi lebih luas untuk menyokong perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Ini termasuk usaha membantu syarikat mengurangkan kos operasi melalui proses yang lebih cekap, termasuk kelulusan lebih pantas serta prosedur pelesenan yang dipermudah.
“Kerajaan Negeri akan terus memperhalusi dasar mesra perniagaan bagi memastikan Selangor kekal kompetitif dalam menarik dan mengekalkan pelabur, khususnya ketika rantaian bekalan global terus berubah,” katanya.








