SHAH ALAM, 14 NOV: Pihak berkuasa disaran mengharamkan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat di kantin serta kawasan sekitar sekolah bagi memastikan pelajar mengamalkan gaya hidup sihat.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan berkata langkah itu penting bagi mendidik pelajar mengenai kepentingan pemakanan seimbang dan penjagaan kesihatan sejak di bangku sekolah.
“Sebenarnya garis panduan mengenai barangan yang dilarang dijual di sekolah sudah ada, namun perlu diperketatkan. Masih ada penjualan makanan seperti gula-gula hisap (lollipop) dan snek ringan yang tidak berkhasiat.
“Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan supaya kanak-kanak tidak terlalu bebas membeli makanan seperti ini secara berulang, kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut mencadangkan agar pihak sekolah menganjurkan kempen kesedaran pemakanan sihat secara berkala bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai kepentingan menjaga diet seimbang.

“Ibu bapa juga digalakkan menyediakan bekalan makanan berkhasiat dari rumah agar anak-anak mendapat sumber tenaga yang mencukupi sepanjang waktu persekolahan.
“Langkah ini diharap dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat serta membentuk generasi cergas dan berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, sebuah media memetik data Bank Dunia yang menunjukkan Malaysia kini berada di tangga ke-13 dunia bagi penyakit diabetes, meningkat daripada kedudukan ke-16 pada 2021.
Lebih membimbangkan, masalah itu kini turut melibatkan golongan muda termasuk kanak-kanak, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti di negara ini.
Menjelang sambutan Hari Diabetes Sedunia hari ini, pakar kesihatan turut menegaskan peningkatan kes ini perlu dianggap sebagai krisis kesihatan kebangsaan yang memerlukan tindakan segera dan menyeluruh.





