SHAH ALAM: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang menikam mati rakan sekolahnya turut menyerang ibunya 13 hari sebelum kejadian, sehingga wanita itu terjatuh dan cedera di kepala.
Insiden berlaku ketika ibunya cuba memeriksa beg sekolah remaja berkenaan selepas menyedari dia memakai dua lapis baju ke sekolah serta membawa pakaian tambahan dan topi.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan psikiatri Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta merangkap Pakar Perunding Kanan Psikiatri Forensik, Dr Ian Lloyd Anthony.
Laporan berkenaan terkandung dalam alasan penghakiman setebal 77 muka surat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid yang membebaskan remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh pada 14 September lalu.
Menurut laporan itu, remaja berkenaan sebelum ini dikehendaki berjumpa kaunselor sekolah susulan aduan berulang kerana sering datang lewat, tidur di dalam kelas dan berambut panjang.
Dia kemudian dirujuk kepada terapi swasta, namun empat sesi yang dijalani tidak menunjukkan hasil apabila dia kekal berwaspada, tidak berminat, curiga serta sering menyembunyikan muka dalam baju-T atau di sebalik tapak tangan.
Anthony turut mengenal pasti perkembangan gejala psikotik sejak 2023 apabila remaja berkenaan mula percaya kamera litar tertutup (CCTV) dipasang secara rahsia di rumah untuk memantaunya.
Beliau merujuk kepercayaan itu sebagai delusi paranoid, yang turut dikaitkan dengan persepsinya terhadap cahaya merah di dalam bilik sebagai halusinasi penglihatan.
“Dia percaya ibu bapanya memasang kamera secara tersembunyi di bilik tidur dan bilik airnya, serta yakin dia sedang diintai.
“Pada awal tahun 2025, kepercayaan ini merebak ke persekitaran sekolah. Dia percaya, pengawal keselamatan sekolah memerhatikannya secara rahsia melalui CCTV dari pondok kawalan dan beberapa orang guru turut berbuat demikian,” katanya.
Kepercayaan delusi sama turut dikaitkan dengan masalah kelewatan kronik ke sekolah apabila dia sering berada di dalam kereta bersama ibunya selama 20 hingga 30 minit selepas abangnya masuk ke sekolah.
“Dia juga berkeras mahu kereta diletakkan jauh dari pintu masuk sekolah, dan akan mengimbas kawasan sekeliling untuk memastikan keselamatan sebelum keluar dari kereta.
“Dia mengelak daripada menghadiri perhimpunan hari Isnin dengan bersembunyi di dalam bilik air, kadang-kadang sehingga dua jam sebelum kembali ke kelas,” katanya.
Pada 14 September lalu, Adlin membebaskan remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun selepas mendapati dia kurang siuman ketika kejadian pada 14 Oktober tahun lalu.
Beliau memerintahkannya ditahan dan dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut perkenan Sultan Selangor.








