SHAH ALAM, 8 JULAI: Seramai 5,581 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kelahiran 2008 yang telah mencapai usia 18 tahun selesai menerima manfaat RM1,500 setiap seorang, membabitkan pembayaran keseluruhan lebih RM7.51 juta setakat semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei berkata pembayaran fasa pertama berjumlah lebih RM4.43 juta disalurkan kepada 3,068 penerima yang lahir antara Januari hingga Mac 2008 menerusi pindahan dana elektronik (EFT) dan e-dompet.
Bagi fasa kedua, seramai 2,513 penerima yang lahir antara April hingga Jun 2008 menerima bayaran berjumlah lebih RM3.08 juta.
“Kita salurkan bayaran mengikut empat fasa iaitu pertama untuk mereka yang lahir Januari hingga Mac. Fasa kedua bagi kelahiran April, Mei dan Jun.
“Seterusnya, fasa ketiga adalah untuk yang kelahiran Julai hingga September dan fasa keempat adalah untuk mereka yang kelahiran Oktober ke Disember,” katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, penyaluran manfaat kebiasaannya dibuat dalam tempoh dua minggu terakhir setiap fasa, manakala ahli yang terlepas membuat tuntutan mengikut fasa kelahiran masing-masing masih boleh berbuat demikian dalam tempoh kelayakan setahun selepas mencapai usia 18 tahun.
Katanya, bagi setiap fasa, ahli perlu mengemukakan tuntutan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan bagi membolehkan pembayaran dibuat dalam fasa berkenaan.
“Ahli dinasihatkan membuat tuntutan sebelum tarikh penyaluran itu. Contohnya jika kita salur 15 September, hari terakhir untuk dia mohon tuntutan adalah 14 September. Jika tidak sempat buat pada waktu itu, dia kena buat kemudian, kita akan salur kemudian pada fasa berikutnya.
"Sebagai contoh, jika seseorang itu terlepas tuntutan pada fasa pertama, permohonannya masih boleh diproses dan bayaran akan disalurkan pada fasa berikutnya.
“Sebenarnya kalau ikut kelayakan dia ada tempoh satu tahun dari tarikh dia capai umur 18 tahun, namun kita galakkan mereka tuntut dengan secepat mungkin. Kalau dia tidak tuntut dalam tempoh satu tahun, selepas itu dia tidak layak lagi untuk tuntut berdasarkan ketetapan semasa Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Pei Nei memaklumkan seramai 21,295 ahli TAWAS kelahiran 2008 layak menerima RM1,500 tahun ini dan penerima mempunyai tempoh setahun untuk membuat tuntutan.
Dato’ Menteri Besar sebelum ini berkata pelaksanaan TAWAS membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa generasi muda dan memastikan setiap anak Selangor mendapat permulaan kehidupan yang stabil.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 mula menunjukkan hasil apabila anak-anak yang pernah menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah semasa Tahun Satu kini menerima wang tersebut selepas mencapai umur 18 tahun.







