BANTING, 8 JULAI: Pentadbiran sekolah disaran memperketat kawalan keselamatan serta memperkukuh usaha advokasi bagi mengelakkan senjata berbahaya dibawa masuk ke kawasan sekolah, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Beliau berkata terdapat dua aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan insiden seumpama itu daripada berulang.
"Pertama ialah kawalan keluar masuk sekolah. Kita perlu lihat bagaimana akses diperoleh sehingga peralatan atau senjata yang tidak sepatutnya boleh dibawa masuk.
"Kedua ialah advokasi, khususnya melibatkan bahagian hal ehwal murid, bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelajar yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU)," katanya kepada Media Selangor selepas melawat mangsa kejadian tikaman di Hospital Banting, semalam.
Anfaal berkata warga sekolah juga perlu diberi pendedahan supaya lebih memahami kepelbagaian latar belakang pelajar, terutama mereka yang mempunyai kelainan perkembangan neurologi (neurodivergen) atau berdepan masalah kesihatan mental, sekali gus mengelakkan kejadian buli.
"Kita perlu mendidik pelajar bahawa di sekolah terdapat individu yang mempunyai cara berfikir dan perkembangan berbeza. Jangan memperlekeh atau menjadikan mereka bahan jenaka.
"Remaja memang suka bergurau, tetapi apabila gurauan itu dilakukan berulang kali, ia boleh memberi kesan kepada individu yang terlibat," katanya.
Beliau berkata tanggungjawab mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dalam kalangan remaja bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa.
Katanya, guru kaunseling dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam mengesan tanda awal sebelum keadaan menjadi lebih serius atau membawa kepada keganasan.
"Jika PRS mengesan sebarang perubahan atau tanda yang membimbangkan, mereka perlu segera memaklumkannya kepada guru supaya tindakan awal dapat diambil. Kita perlu lebih peka.
"Saya percaya tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada sekolah. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada pihak sekolah," katanya.
Pada masa sama, Anfaal berkata pendekatan Kerajaan Negeri bukan sekadar bertindak selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha pencegahan secara menyeluruh melalui kerjasama pelbagai agensi.
"Kita tidak mahu mengambil pendekatan reaktif yang hanya bertindak selepas kejadian berlaku. Melalui EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, kita melaksanakan program PeerZ secara berterusan.
"Program PeerZ bertujuan meningkatkan pengetahuan untuk mengenal pasti faktor risiko dan simptom awal masalah kesihatan mental. Melalui pendekatan ini, pelbagai pihak boleh digerakkan bersama bagi memastikan keselamatan anak-anak di sekolah terus terpelihara," katanya.
Menurut beliau, program PeerZ yang diperkenalkan pada 2024 melatih PRS mengenal pasti tanda awal seperti kebimbangan melampau, kemurungan atau tekanan emosi dalam kalangan rakan sebaya yang berpotensi mencetuskan tindakan berbahaya.
Media Selangor pada Isnin melaporkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam oleh seorang lagi pelajar di sebuah sekolah di Banting.
Susulan kejadian itu, beberapa ibu bapa menggesa pihak sekolah memperketat kawalan keluar masuk bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin.







