
BANGI, 8 Julai: Aroma yang kuat menjadi petunjuk utama untuk mengenal pasti durian berkualiti sebelum buah itu dibuka.
Petua itu dikongsi Datuk Leow Cheok Kiang, 66, bekas juara Kejohanan Durian Dunia yang dikenali sebagai bapa 'Black Thorn' kerana mencipta baka asal durian Duri Hitam (D200).
Berpengalaman lebih lima dekad dalam industri durian, beliau berkata bau yang kuat memberi gambaran awal bahawa isi buah berada dalam keadaan baik.
"Bau mesti kuat. Awak cium (buah), bau dalamnya mesti kuat (menunjukkan) isi dalam mesti bagus. Bau nombor satu penting," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Bangi Golf Resort baru-baru ini.

Pilih buah baru gugur
Selain aroma, Cheok Kiang berkata pengguna disaran memilih durian yang baru gugur dengan memeriksa keadaan tangkainya.
Menurutnya, tangkai yang masih berwarna putih menandakan buah itu baru gugur, manakala tangkai yang semakin gelap menunjukkan durian sudah lama berada di atas tanah.
Beliau bagaimanapun berkata bunyi isi apabila durian digoncang bukan petunjuk buah itu berkualiti kerana durian mangkal atau kurang masak juga boleh menghasilkan bunyi yang sama.

Selain itu, Cheok Kiang menasihatkan supaya durian dimakan sejurus dibuka bagi menikmati aroma terbaik.
"Kalau hari ini bau kuat tetapi sampai esok belum dimakan, bau akan berkurangan. (Yang ada) Hanya tinggal rasa manis sahaja. Bau boleh lari tetapi manis tak boleh lari," katanya.
Cheok Kiang yang mula mengusahakan tanaman durian sejak berusia lapan tahun berkata varieti Duri Hitam lebih mudah diuruskan berbanding Raja Kunyit atau Musang King kerana lebih tahan ketika musim kemarau.
Benih, tanah dan air penentu kualiti
Sementara itu, Pengarah Urusan Advansia Sdn Bhd, Lam Chin Hee berkata pemilihan benih, tanah yang sesuai dan bekalan air mencukupi merupakan faktor utama dalam menghasilkan durian berkualiti.

"Mula-mula pemilihan benih. Benih yang penting. Selepas itu tanah. Tanah mesti sesuai untuk durian dan pembekalan air. Durian perlu banyak air," katanya.
Beliau berkata kawasan tanaman tidak boleh mempunyai air bertakung kerana keadaan itu boleh menyebabkan pokok diserang pelbagai penyakit.
Menurutnya, pokok durian lazimnya mula berbuah seawal usia lima tahun, namun ada varieti yang hanya mengeluarkan hasil selepas 10 tahun bergantung kepada kaedah penjagaan.
Rahsia hasilkan durian 'King of Kings'
Pemilik Tuah Hayati Sdn Bhd, Tan Cheng Long pula berkata pengusaha perlu berani membuang sebahagian buah pada pokok bagi memastikan hanya hasil terbaik dituai.

Durian Duri Hitam dari kebunnya di Bera, Pahang dinobatkan sebagai juara keseluruhan King of Kings pada Kejohanan Durian Dunia 2026.
"Walaupun pokok berbuah banyak, kita mesti sanggup buangkan sebahagian buah supaya pokok kekal baik dan kualitinya terjaga," katanya.
Kejohanan Durian Dunia 2026 yang memasuki edisi kelapan menghimpunkan pengeluar durian terbaik dari seluruh negara bagi mengetengahkan varieti premium tempatan.
Sebanyak 192 penyertaan diterima dengan penilaian dibuat panel juri dari Malaysia, China, Jepun dan Singapura bagi memilih pemenang bagi lima kategori yang dipertandingkan.






