Sanggup buang buah demi kualiti, rahsia 'Black Thorn' dinobat 'King of Kings'

7 Jul 2026, 2:00 AM
Sanggup buang buah demi kualiti, rahsia 'Black Thorn' dinobat 'King of Kings'
Sanggup buang buah demi kualiti, rahsia 'Black Thorn' dinobat 'King of Kings'
Sanggup buang buah demi kualiti, rahsia 'Black Thorn' dinobat 'King of Kings'
Sanggup buang buah demi kualiti, rahsia 'Black Thorn' dinobat 'King of Kings'

BANGI, 7 JULAI: Ketika kebanyakan pekebun mengharapkan pokok mengeluarkan hasil sebanyak mungkin, pengusaha durian Duri Hitam (Black Thorn), Tan Cheng Long pula mengambil pendekatan sebaliknya dengan membuang sebahagian buah bagi memastikan hanya hasil terbaik dituai.

Strategi itu ternyata membuahkan hasil apabila durian Duri Hitam keluaran syarikatnya, Tuah Hayati Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara keseluruhan 'King of Kings' pada Kejohanan Durian Dunia 2026.

"Walaupun pokok berbuah banyak, kita mesti sanggup buangkan sebahagian buah supaya pokok kekal baik dan kualitinya terjaga," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Bangi Resort Hotel baru-baru ini.

Menurut Cheng Long, penjarangan buah amat penting terutama bagi pokok Duri Hitam yang masih muda kerana terlalu banyak buah akan menyebabkan nutrien tidak mencukupi, sekali gus menjejaskan kualiti hasil.

Beliau berkata pokok Duri Hitam di kebunnya di Bera, Pahang berusia antara enam hingga lapan tahun dan ditanam di kawasan seluas kira-kira 50 ekar.

Tan Cheng Long dari Tuah Hayati Sdn Bhd muncul juara kategori King of Kings pada Kejohanan Durian Dunia 2026 di Bangi Golf Resort, Selangor pada 3 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR

Cheng Long turut menjelaskan lebih 90 peratus bahan yang digunakan dalam pengurusan kebunnya berasaskan organik bagi memastikan buah yang dihasilkan berkualiti tinggi.

Menurutnya, Duri Hitam lebih mudah diuruskan berbanding Musang King, namun proses penjarangan buah tetap perlu dilakukan bagi memastikan setiap buah menerima nutrien mencukupi.

Harum, berkrim dan isi halus pikat hati juri

Beliau berkata aroma yang harum, tekstur berkrim serta isi yang halus menjadi antara keistimewaan Duri Hitam yang dipertandingkan sehingga berjaya memikat hati panel juri.

"Saya gembira dan tak sangka walaupun pokok masih muda boleh menghasilkan durian dengan kualiti yang begitu bagus sehingga dipilih juri," katanya.

Cheng Long berkata hasil durian dari kebunnya sebelum ini turut dieksport ke Hong Kong ketika musim buah.

Kemenangan itu menyaksikan Tuah Hayati Sdn Bhd membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, liputan media, hamper produk Advansia serta kontrak pemasaran eksklusif bersama Tropika Farm Depot Sdn Bhd.

Barisan juri menilai rasa dan kualiti durian yang dipertandingkan pada Kejohanan Durian Dunia 2026 di Bangi Golf Resort, Selangor pada 3 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Soo Sin Guan dari Pengkalan Hulu Farm muncul juara kategori Open (Kampung), diikuti Lai Chew Hor (Ah Pa Durian) bagi kategori Registered Clones dan Lai Cheng Kuen (668 Durian King) untuk kategori Musang King.

Tuah Hayati Sdn Bhd pula mengungguli kategori Duri Hitam sebelum dinobatkan sebagai juara keseluruhan 'King of Kings'.

Kejohanan Durian Dunia 2026 yang memasuki edisi kelapan menghimpunkan pengeluar durian terbaik dari seluruh negara bagi mengetengahkan varieti premium tempatan.

Sebanyak 192 penyertaan diterima dengan penilaian dilakukan panel juri dari Malaysia, China, Jepun dan Singapura bagi memilih pemenang bagi lima kategori yang dipertandingkan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.