MPSepang perkenal Tabung Endowmen bantu pembangunan komuniti

7 Jul 2026, 6:12 AM
MPSepang perkenal Tabung Endowmen bantu pembangunan komuniti
MPSepang perkenal Tabung Endowmen bantu pembangunan komuniti

SEPANG, 7 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan Tabung Endowmen Sepang (TES) dengan dana permulaan RM10 juta bagi membiayai program kebajikan dan pembangunan komuniti secara mampan dalam tempoh tiga tahun.

Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata TES menjadi platform memperkukuh kerjasama antara kerajaan tempatan, sektor korporat dan masyarakat, selain menyemarakkan budaya kedermawanan demi kesejahteraan penduduk.

Menurutnya, tabung itu akan memberi fokus kepada pembasmian kemiskinan, keusahawanan, pendidikan dan latihan bagi memperkasa komuniti di daerah berkenaan.

"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh MPSepang bagi tempoh tiga tahun untuk diurus dan dilaburkan di bawah pengurusan endowmen.

"Melalui pengurusan dana yang sistematik, tabung ini dianggarkan mampu menjana pulangan pelaburan sekitar RM360,000 setahun bagi membiayai pelbagi program kebajikan dan pembangunan komuniti," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Peluncuran Tabung Endowmen Sepang di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Cyberjaya, hari ini.

Yang Dipertua Majlis Sepang, Dr. Ani Ahmad menyerahkan cek cura ketika Majlis Peluncuran Tabung Endowmen di Majlis Perbandaran Sepang (MPS) pada 7 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Menurut Ani, Tabung Endowmen Sepang turut membuka ruang kepada pelbagai pihak menyumbang dalam bentuk wang tunai, saham pelaburan, aset serta keuntungan pelaburan bagi memastikan kelestarian dana berkenaan.

Katanya, pendekatan itu diyakini dapat memperluaskan penglibatan sektor swasta dan masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan sosial di Sepang sekali gus meningkatkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada majlis sama, MPSepang turut melancarkan Pejabat Endowmen Sepang yang akan berperanan mengurus tadbir, pelaburan serta pelaksanaan inisiatif di bawah tabung berkenaan bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan kepada komuniti.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.