Tabung Endowmen jadi model baharu pembiayaan PBT

7 Jul 2026, 9:30 AM
Tabung Endowmen jadi model baharu pembiayaan PBT

SEPANG, 7 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempelbagaikan sumber kewangan bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat dapat dilaksanakan secara mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil tradisional.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad berkata penubuhan Tabung Endowmen Sepang (TES) membuktikan pendekatan baharu itu mampu memperkukuh kedudukan kewangan PBT secara lebih lestari.

"Jika kita hanya bergantung kepada sumber pendapatan tradisional, kemampuan PBT untuk memperluaskan manfaat kepada masyarakat adalah terhad. Sebab itu kita perlu meneroka model kewangan yang lebih lestari.

"Dana pokok tabung akan dikekalkan manakala hasil dividen daripada pelaburan akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan tanpa menjejaskan kelangsungan dana asal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Tabung Endowmen Sepang di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Cyberjaya, hari ini.

Menurut Ani, setakat ini belum ada program kebajikan khusus yang akan dibiayai menerusi tabung berkenaan kerana pihaknya sedang mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat sebelum merangka inisiatif bersesuaian.

Katanya, semua penyaluran dana akan dipantau oleh jawatankuasa yang dilantik bagi memastikan pengurusan tabung dilaksanakan secara telus serta mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan.

Dalam masa sama, Ani berkata MPSepang menyasarkan nilai TES mencecah RM10 juta setiap tahun menerusi sumbangan pelbagai pihak khususnya syarikat korporat yang aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sebahagian besar syarikat besar memang melaksanakan CSR, namun mereka memerlukan institusi yang diyakini untuk menyalurkan dana. Kita mahu tabung ini menjadi platform yang dipercayai bagi menguruskan sumbangan tersebut.

“Selain itu, MPSepang juga sedang berusaha mendapatkan pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menyalurkan sumbangan kepada tabung berkenaan,” ujarnya.

Mengulas pengurusan tabung itu, Ani memaklumkan pengalaman selama dua tahun di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) banyak membantu dalam merangka sistem tadbir urus kewangan yang lebih tersusun di MPSepang.

Tambahnya, keadaan MPSepang juga berbeza berbanding MPAJ kerana daerah Sepang masih mempunyai potensi pembangunan yang besar dengan hampir separuh kawasannya belum dibangunkan sepenuhnya.

Meskipun MPSepang baru berusia 20 tahun, Ani berkata dengan pengurusan dan kawal selia yang baik, tabung ini mampu memberi manfaat besar kepada majlis serta masyarakat pada masa hadapan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.