SHAH ALAM, 7 JULAI: Suspek yang menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap remaja itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok selepas permohonan dikemukakan pihak polis, lapor Kosmo!.
Terdahulu, remaja terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.08 pagi dengan menaiki trak polis, sebelum meninggalkan mahkamah pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Aruz.
Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK) S. Vijeswari Suppiah ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU)
“Anak guam saya adalah autistik. Itu sahaja saya boleh katakan,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga cedera selepas ditikam di beberapa bahagian badan dalam insiden yang mengejutkan warga sekolah.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum kejadian berlaku.
Suspek yang memakai kemeja-T hitam difahamkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.







