Adik ipar cedera parah ditikam tiga kali, remaja 17 tahun direman tujuh hari

18 Sep 2026, 3:34 AM
Adik ipar cedera parah ditikam tiga kali, remaja 17 tahun direman tujuh hari

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana disyaki menikam adik iparnya sebanyak tiga kali ketika mangsa sedang tidur di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku, semalam.

Perintah reman terhadap suspek yang bekerja sebagai pembantu di kedai barangan terpakai itu dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan, lapor BH Online.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek dipercayai menendang mangsa berusia 18 tahun yang sedang tidur sebelum menikam dada dan belakangnya menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.

Mangsa yang cedera parah kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya dan kini masih menerima rawatan.

Sehari sebelum kejadian, mangsa dan isteri yang juga adik suspek, berusia 14 tahun, dipercayai bertengkar kira-kira jam 5 petang. Pertengkaran itu turut disaksikan suspek, namun dia dikatakan hanya berdiam diri.

Suspek kemudian dipercayai pulang ke Rengit pada malam sebelum kejadian sebelum kembali ke rumah mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.

Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri sebelum ditahan polis di sebuah kedai barangan terpakai kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi berkata mangsa masih dirawat dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.