Kes tikam pelajar di Banting: Suspek tidak hadir sekolah sejak beberapa bulan

6 Jul 2026, 6:01 AM
Kes tikam pelajar di Banting: Suspek tidak hadir sekolah sejak beberapa bulan

SHAH ALAM, 6 JULAI: Suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting pagi tadi dikenal pasti sebagai remaja perempuan berusia 15 tahun.

Menurut laporan Harian Metro, suspek dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.

Dalam kejadian kira-kira pagi tadi, mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga dipercayai mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian belakang badan dan bahu sebelum diberikan rawatan.

Difahamkan, suspek memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama dengan memakai baju-T hitam dan seluar kotak berwarna merah.

Bagaimanapun, kronologi lengkap kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Selepas kejadian, suspek dilaporkan ditenangkan oleh beberapa guru berhampiran surau sekolah sementara pihak pengurusan menghubungi polis.

Suspek ditenangkan beberapa guru sebelum ditahan bagi membantu siasatan. Foto Facebook netizen

Suspek kemudian ditahan, manakala polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu sebagai bahan siasatan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau, menyebabkan pelajar lain bertempiaran menyelamatkan diri.

Turut tular di media sosial dakwaan bahawa suspek merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan yang mahu membalas dendam.

Bagaimanapun, dakwaan itu belum disahkan pihak berkuasa dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.