SHAH ALAM, 30 SEPT: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang menyerang anggota polis di pekarangan Balai Polis Batu 9, Kajang, Sabtu lalu dipercayai bertindak melulu akibat kemurungan berpunca daripada masalah keluarga.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek cuba menikam seorang anggota yang sedang bertugas kira-kira jam 12.10 tengah malam, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, suspek pada awalnya memasuki kawasan balai seolah-olah mahu membuat laporan polis sebelum tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dari kotak simpanan motosikal.
“Suspek kemudian menikam ke arah kanan perut anggota bertugas, namun mangsa sempat mengelak dan mata pisau hanya terkena tali pinggangnya.
“Suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan yang turut menyebabkan seorang lagi anggota polis cedera pada kedua-dua tapak tangan ketika membantu,” katanya.
Naazron berkata, suspek dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah keluarga.
Lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pagi ini mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis nyaris maut selepas cuba ditikam ketika membuka pintu pagar Balai Polis Batu 9.
Ketika kejadian, anggota berkenaan didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum diserang ketika menghampirinya untuk bertanyakan tujuan kedatangan.







