SHAH ALAM, 6 JULAI: Program Platform Selangor (PLATS) Transisi Kerjaya di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dijangka bermula bulan depan bagi membantu 5,000 individu yang kehilangan pekerjaan membina sumber pendapatan baharu menerusi bidang keusahawanan.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan persiapan pelaksanaan program itu, termasuk mendapatkan data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengenal pasti peserta yang layak.
Menurutnya, program berkenaan memberi tumpuan kepada mereka yang diberhentikan kerja, termasuk golongan berusia lingkungan 40-an yang berhasrat memulakan perniagaan sebagai kerjaya baharu.

“Sekarang ini kita sedang bersedia melaksanakan beberapa program besar melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan, antaranya Program PLATS Transisi Kerjaya yang akan bermula bulan depan.
“Kita kini sedang mendapatkan data daripada PERKESO supaya 5,000 mereka yang telah diberhentikan kerja dapat dibantu melalui program ini,” katanya kepada Media Selangor.
Ahmad Azri berkata peserta yang terpilih bukan sahaja dibimbing untuk memulakan perniagaan, malah akan menerima sokongan menyeluruh merangkumi bantuan pembiayaan, penyediaan peralatan serta latihan dan pendedahan dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri membantu golongan yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan supaya mampu kembali menjana pendapatan secara lebih mampan.
PLATS Transisi Kerjaya diperkenalkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bagi membuka peluang kepada individu yang kehilangan pekerjaan menceburi bidang keusahawanan.
Ketika membentangkan pakej berkenaan bulan lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program itu diperuntukkan RM4 juta bagi membolehkan peserta mengikuti latihan dan pendedahan kepada strategi asas perniagaan sebelum memulakan perusahaan masing-masing.










