SHAH ALAM, 23 OKT: Pesakit kanser, individu memerlukan pembedahan jantung dan pelajar antara 29 penerima zakat wakalah berjumlah kira-kira RM120,000 yang disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI hari ini.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban penerima bagi menampung kos rawatan kesihatan, pengajian dan sara hidup, dengan sebahagian besar terdiri daripada asnaf fisabilillah serta gharimin.
“Selain daripada pelajar-pelajar, ada juga mereka yang memerlukan kos pembedahan jantung, ada yang mengalami masalah kanser dan ada juga yang menerima sumbangan sara hidup.
“Jadi, inilah yang kita bantu melalui zakat wakalah yang kita ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Azri, zakat wakalah merupakan sebahagian daripada bayaran zakat MBI yang dikembalikan oleh Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) untuk diagihkan kepada golongan layak.
Beliau menjelaskan agihan berkenaan melibatkan empat kategori asnaf iaitu fakir, miskin, gharimin dan fisabilillah.
Katanya, Yayasan MBI menerima lebih RM700,000 zakat wakalah tahun ini dan menyasarkan baki peruntukan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun.
“Kita ada berbaki lagi kurang lebih RM80,000 yang kita akan habiskan pada tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Azri menyifatkan rakyat Selangor bertuah kerana mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat.

Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan prinsip MBI bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita patut berasa terima kasih dan bersyukur kerana tinggal di negeri ini. Kerajaan yang ada cukup menjaga kebajikan rakyatnya.
“Saya harap sumbangan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.










