PLATS Transisi Kerjaya dilancar Ogos, bantu individu hilang kerja jadi usahawan

28 Jul 2026, 8:15 AM
PLATS Transisi Kerjaya dilancar Ogos, bantu individu hilang kerja jadi usahawan
PLATS Transisi Kerjaya dilancar Ogos, bantu individu hilang kerja jadi usahawan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Seramai 5,000 individu yang kehilangan pekerjaan tetapi berhasrat memulakan perniagaan bakal menerima manfaat menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS) Transisi Kerjaya yang akan dilancarkan Ogos ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata program itu bertujuan membantu golongan terkesan memulakan perniagaan walaupun tidak mempunyai modal atau pengalaman.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita akan luncurkan PLATS Transisi Kerjaya yang mana kita memberi manfaat kepada mereka yang kehilangan pekerjaan yang nak berniaga. Mereka tiada apa, ‘zero’ tetapi nak berniaga.

“Kita akan bantu dari sudut pembiayaan mikro, mendapatkan lesen bersama pihak berkuasa tempatan dan latihan keusahawanan. Semuanya secara percuma yang akan kita bantu mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan komputer riba kepada mahasiswa di pejabat Yayasan MBI, di sini hari ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap pada Majlis Serahan Komputer Riba Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 28 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ahmad Azri berkata, data peserta dikenal pasti menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Datanya kita dapat daripada PERKESO. Insya-Allah kita akan bantu kuota 5,000 peniaga yang kita boleh santuni dan diluncur pada Ogos nanti,” katanya.

Selain latihan dan pembiayaan mikro, peserta yang memenuhi syarat turut berpeluang memohon Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS), Data Internet Percuma serta bantuan lain yang disediakan.

Beliau berkata bantuan itu terbuka kepada pelbagai jenis perniagaan tanpa mengira sektor, termasuk makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan, bengkel serta gunting rambut.

“Mereka hanya perlu berniaga dan tidak kisah produk apa termasuk makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan, bengkel, gunting rambut… insya-Allah kita boleh bantu,” katanya.

Pada 2023, MBI memperkenalkan program U-PLATS bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan.

Antara modul disediakan meliputi pengenalan keusahawanan, media sosial, e-dagang dan penciptaan kandungan digital.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.