RM4 juta diperuntuk bantu 5,000 rakyat Selangor hilang kerja ceburi keusahawanan

19 Jun 2026, 3:37 AM
RM4 juta diperuntuk bantu 5,000 rakyat Selangor hilang kerja ceburi keusahawanan
RM4 juta diperuntuk bantu 5,000 rakyat Selangor hilang kerja ceburi keusahawanan

SHAH ALAM, 19 JUN: Seramai 5,000 rakyat Selangor yang kehilangan pekerjaan tahun ini bakal mendapat peluang untuk menceburi bidang keusahawanan menerusi inisiatif Transisi Kerjaya PLATS membabitkan peruntukan sebanyak RM4 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu diwujudkan bagi membantu golongan yang kehilangan mata pencarian serta mereka yang berminat memulakan perniagaan melalui pendedahan kepada strategi asas keusahawanan.

“Separuh daripada 10,000 warga Selangor yang hilang pekerjaan pada tahun ini, iaitu 5,000 slot akan disediakan untuk mereka menyertai program.

“Mereka akan ditawarkan bantuan data internet selama 12 bulan supaya dapat mengakses platform digital, melalui modul latihan dan memohon pembiayaan untuk memulakan perniagaan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, setiap peserta turut menerima elaun perjalanan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup sepanjang mengikuti program berkenaan.

Beliau berkata peserta juga akan dibimbing menerusi latihan dan strategi perniagaan di bawah pemantauan pengurusan PLATS sebelum diberikan akses kepada ekosistem perniagaan yang lebih luas.

“Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa warga Selangor perlu diberikan peluang untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai jalan untuk meningkatkan kualiti hidup.

“Kerajaan Negeri akan menawarkan laluan untuk golongan pekerja yang hilang mata pencarian atau mereka yang ingin menjadi usahawan untuk diberikan pendedahan berkenaan strategi asas keusahawanan,” ujarnya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 memberi tumpuan kepada usaha melindungi syarikat dan subsektor ekonomi yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, selain membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.