SHAH ALAM, 5 JULAI: Sebanyak 26 premis yang mempunyai tunggakan cukai taksiran melebihi RM10,000 dikenal pasti menerusi Operasi Pasukan Runding & Bayar (R&B) yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sekitar Taman Melawati dan Hulu Kelang, semalam.
MPAJ memaklumkan operasi dari rumah ke rumah itu melibatkan jumlah keseluruhan tunggakan RM377,752.28.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, hasil operasi berkenaan berjaya mengutip RM16,000, bersamaan empat peratus daripada jumlah keseluruhan tunggakan yang dikenal pasti.
"Operasi itu dilaksanakan menerusi pendekatan rundingan bagi membantu pemilik harta menyelesaikan tunggakan cukai taksiran secara lebih teratur.
"Pendekatan secara harmoni ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran pemilik harta mengenai tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sepanjang operasi dijalankan, beberapa isu turut dikenal pasti termasuk lapan unit rumah kosong, pemilik premis yang enggan memberi kerjasama serta isu berkaitan pindah milik harta.
MPAJ berkata, faktor berkenaan antara cabaran yang dihadapi dalam usaha menyelesaikan tunggakan cukai taksiran melibatkan pemilik premis.
Pihak berkuasa tempatan itu akan terus melaksanakan pendekatan rundingan dan kunjungan secara berterusan bagi membantu pemilik menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Operasi Pasukan Runding & Bayar merupakan antara inisiatif MPAJ bagi meningkatkan kadar kutipan hasil cukai taksiran di samping menggalakkan pematuhan dalam kalangan pemilik harta.







