SHAH ALAM, 5 JULAI: Orang ramai digalak memanfaatkan Program Selangor Saring yang diteruskan sepanjang Julai ini di enam lokasi seluruh Selangor bagi mendapatkan saringan kesihatan secara percuma.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata program itu menawarkan pelbagai pemeriksaan termasuk kesihatan fizikal, ujian darah, ujian air kencing, saringan kanser, pemeriksaan mata dan pergigian.
"Saringan yang ditawarkan adalah berdasarkan penilaian faktor risiko individu menerusi borang saringan awal dalam aplikasi Selangkah.
"Orang ramai digalakkan mendaftar melalui aplikasi Selangkah dengan mengisi borang saringan sebelum memilih lokasi dan tarikh pemeriksaan yang bersesuaian," katanya menerusi Facebook.
Program Selangor Saring yang bermula semalam di enam lokasi iaitu Sungai Ramal, Subang Jaya, Meru, Bandar Baru Klang, Taman Medan dan Rawang.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau menghadapi masalah pendaftaran boleh menghubungi talian Selcare di 1-800-22-6600.
Program Selangor Saring merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pengesanan awal penyakit serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi meneruskan pelaksanaan program Selangor Saring yang menyediakan kemudahan ujian kesihatan percuma kepada rakyat.
Tahun ini, sekurang-kurangnya 8,000 rakyat Selangor dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan yang memberi tumpuan kepada pengesanan awal penyakit serius termasuk barah dan penyakit tidak berjangkit.









