Selangor Saring: Lebih 300 penduduk Seri Kembangan manfaatkan pemeriksaan percuma

11 Okt 2026, 9:30 AM
Selangor Saring: Lebih 300 penduduk Seri Kembangan manfaatkan pemeriksaan percuma

SHAH ALAM, 11 OKT: Lebih 300 penduduk mendapat manfaat menerusi program Selangor Saring di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan semalam, termasuk pemeriksaan kesihatan dan khidmat kaunseling kesihatan mental secara percuma.

Wakil rakyatnya, Wong Siew Ki berkata program itu memberi manfaat khususnya kepada golongan B40, warga emas dan suri rumah yang jarang berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Menurutnya, lebih 200 individu membuat pendaftaran awal dan janji temu menerusi aplikasi SELangkah, manakala 100 lagi hadir tanpa janji temu (walk-in).

“Kebanyakan yang hadir adalah daripada golongan warga emas, suri rumah dan wanita. Ini bagus kerana golongan seperti ini biasanya tidak bekerja, jadi mereka tiada majikan yang mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Justeru, dengan adanya inisiatif Selangor Saring ini, sekurang-kurangnya sekali setahun di peringkat DUN boleh memberi peluang kepada mereka yang mahu menyemak tahap kesihatan masing-masing secara percuma,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Siew Ki berkata program kali ini menawarkan pelbagai pemeriksaan termasuk mata, telinga, fizikal, pergigian, ujian darah dan air kencing serta saringan kanser payudara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki (lima, kanan) bergambar bersama petugas dan peserta program Selangor Saring di Seri Kembangan pada 10 Oktober 2026. Foto Facebook Wong Siew Ki

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan klinik dan doktor swasta bagi menyediakan khidmat kaunseling kesihatan mental percuma kepada pengunjung.

Menurutnya, penduduk yang memerlukan rawatan susulan boleh meneruskan sesi kaunseling di klinik terlibat.

“Bagi golongan B40, pihak klinik menawarkan sesi percuma berselang dua minggu, manakala mereka yang berkemampuan dikenakan bayaran mengikut sesi bermula RM50 hingga RM100.

“Sambutan terhadap kaunter kesihatan mental ini amat menggalakkan dan membuktikan kesedaran masyarakat terhadap isu ini semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Ki berharap program Selangor Saring dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan menawarkan lebih banyak jenis pemeriksaan kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Saya berharap program Selangor Saring diteruskan pada tahun hadapan dengan mempelbagaikan lagi jenis pemeriksaan seperti ketumpatan tulang dan penyakit lain demi kesejahteraan rakyat Selangor,” ujarnya.

Program Selangor Saring merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk bagi menggalakkan pengesanan awal penyakit serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.