SHAH ALAM, 21 OGOS: Penduduk Puchong dan kawasan sekitar berpeluang menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan secara percuma menerusi program Selangor Saring pada 13 September ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata program anjuran Kerajaan Negeri itu akan berlangsung di Dewan Serbaguna MBSJ, Bandar Kinrara 5 bermula jam 9 pagi hingga 2.30 petang.
“Datanglah beramai-ramai untuk buat saringan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan jantung, darah tinggi, mata, kanser, gigi, fisioterapi dan banyak lagi.
“Kesihatan itu aset paling berharga. Jangan lepaskan peluang untuk buat pemeriksaan percuma ini bersama keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Antara pemeriksaan ditawarkan ialah saringan penyakit tidak berjangkit membabitkan jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
Saringan kanser pula merangkumi kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara, manakala pemeriksaan mata melibatkan masalah rabun, glaukoma dan retina.
Turut disediakan ialah saringan gigi dan telinga serta pemeriksaan fisioterapi.
Pra-pendaftaran bagi menyertai program berkenaan kini dibuka menerusi aplikasi SELangkah.







