SHAH ALAM, 3 NOV: Pasangan yang bakal berkahwin disaran membuat pemeriksaan kesihatan awal bagi mengesan penyakit berjangkit antaranya HIV, hepatitis B dan C serta kelamin.
Pakar perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan MSU berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti rawatan atau menguruskan penyakit sebelum berkahwin dan merancang zuriat.
Menurut Dr Noorneza Abdul Rahman, pasangan perlu berterus-terang mengenai sejarah dan risiko kesihatan supaya keputusan berkahwin dibuat dengan pengetahuan serta persetujuan bersama.

"Pemeriksaan penting kerana ada penyakit yang boleh dirawat sebelum berkahwin. Jadi, pasangan perlu berbincang dan mengetahui status kesihatan masing-masing terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata saringan talasemia juga penting kerana penyakit genetik itu memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan bayi jika status pembawa tidak dikenal pasti lebih awal.

Menurutnya, kedua-dua pasangan yang menghidap talasemia perlu mendapatkan penerangan dan kaunseling genetik bagi memahami risiko terhadap zuriat sebelum membuat keputusan lanjut.
“Bagi perkahwinan antara pembawa dan individu bukan pembawa, anak yang dilahirkan masih ada kemungkinan untuk menjadi pembawa dan pemeriksaan sewajarnya perlu dilakukan,” katanya.
Selain itu, Dr Noorneza berkata pasangan boleh membuat pemeriksaan kesuburan jika masih belum mendapat zuriat selepas tempoh tertentu bagi mengenal pasti faktor kesihatan berkaitan.
Bagi pasangan bawah 35 tahun, katanya, pemeriksaan boleh dipertimbang selepas setahun berkahwin dan tinggal bersama dan enam bulan bagi pasangan berusia 35 tahun ke atas.










