10 remaja ditahan bantu siasatan kes pukul pelajar ketika ke masjid

5 Jul 2026, 2:06 AM
10 remaja ditahan bantu siasatan kes pukul pelajar ketika ke masjid

SHAH ALAM, 5 JULAI: Polis menahan 10 remaja lelaki bagi membantu siasatan kes seorang pelajar yang dipukul secara beramai-ramai ketika dalam perjalanan ke Masjid Merotai Besar, Tawau, untuk menunaikan solat Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata kesemua suspek tempatan berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Balai Polis Bombalai.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar sebelum didatangi sekumpulan remaja.

Katanya, kumpulan terbabit kemudian bertanyakan mengenai keberadaan dua individu kepada mangsa.

"Selepas mangsa memaklumkan tidak mengetahui lokasi individu yang dicari, kumpulan terbabit bertindak menyerang dan memukul mangsa beramai-ramai," lapor Harian Metro.

Beliau berkata tiga lagi rakan mangsa yang berada di lokasi turut dipercayai menjadi mangsa serangan kumpulan remaja berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk, manakala tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan sebelum tampil membuat laporan polis.

Wilynton berkata polis kemudian menjalankan siasatan sebelum menahan 10 remaja tempatan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Beliau menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau salah laku membabitkan pelajar dan remaja serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.