KUALA LUMPUR, 29 NOV: Polis menyiasat dua laporan berhubung insiden pergaduhan yang dipercayai membabitkan seorang aktivis ketika beliau membuat siaran langsung menerusi Facebook di Pasar Pudu di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata laporan pertama dibuat oleh seorang lelaki berusia 44 tahun pada jam 2.52 pagi tadi.
Beliau berkata berdasarkan laporan pengadu, kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam di hadapan sebuah kedai di Jalan Pasar Baharu, Pudu, ketika seorang aktivis daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) didakwa membuat rakaman tanpa kebenarannya serta mengeluarkan kata-kata kesat.
"Pengadu turut mendakwa rakan aktivis berkenaan telah menolak dan menumbuk rusuk kirinya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azwan berkata kejadian itu mencetuskan pergaduhan kecil sebelum beberapa orang awam tampil meleraikannya.
Beliau berkata polis turut menerima laporan daripada aktivis yang terlibat pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa mematuhi undang-undang.
"Individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 39 saat di media sosial yang memaparkan seorang aktivis dipukul ketika membuat siaran langsung di Pasar Pudu.







