Manifesto HARAPAN fokus perkukuh peluang ekonomi, pembangunan bakat anak muda Johor

4 Jul 2026, 11:50 AM
Manifesto HARAPAN fokus perkukuh peluang ekonomi, pembangunan bakat anak muda Johor
Manifesto HARAPAN fokus perkukuh peluang ekonomi, pembangunan bakat anak muda Johor

SHAH ALAM, 4 JULAI: Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peluang ekonomi dan pembangunan bakat anak muda sebagai aset penting dalam membentuk masa depan negeri itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato' Seri Amirudin Shari berkata antara sasaran utama yang ditawarkan ialah meningkatkan gaji median Johor sebanyak 30 peratus serta mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun.

“Selain itu, melatih 10,000 pekerja menerusi program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pangkalan data, automasi, logistik pintar, pembuatan, pertanian moden dan penghasilan makanan.

“Insya-Allah, Johor mampu melangkah lebih jauh dengan peluang yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato' Seri Amirudin Shari menghadiri program Kita GenK Madani X Anak Muda Bukit Batu di Kulai, Johor Bharu pada 4 Julai 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Terdahulu, Amirudin menyertai kempen PRN Johor bersama Perdana Menteri merangkap Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Kita GenK Madani X Anak Muda Bukit Batu di Kulai, Johor Bharu hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN mengajak rakyat Johor memberi sokongan kepada calon-calon HARAPAN demi membina masa depan negeri yang lebih gemilang.

Semalam, HARAPAN melancarkan manifesto Johor Untuk Semua sebagai tawaran kepada pengundi sempena PRN Johor ke-16.

Antara teras utama manifesto itu ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun kepada golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang bakal memanfaatkan 500,000 rakyat.

Selain itu, lima inisiatif Pencetus Perubahan Johor turut diperkenalkan, termasuk penubuhan 250 Taska MADANI dan Taska Tempat Kerja bagi membantu wanita kembali ke pasaran pekerjaan serta Pas Pengangkutan Awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.