SPR puas hati proses PRN Johor, 68.73 peratus pengundi keluar mengundi

12 Jul 2026, 1:38 AM
SPR puas hati proses PRN Johor, 68.73 peratus pengundi keluar mengundi

JOHOR BAHRU, 12 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati terhadap keseluruhan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam dengan pengundi berdaftar dapat menunaikan hak serta tanggungjawab mereka.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tiada sebarang perkara tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya berlaku dan keputusan penuh diperoleh pada 12.50 tengah malam tadi selepas selesai proses penjumlahan undi di semua kerusi yang dipertandingkan.

"Pada PRN Johor ke-16 ini, 1,874,918 pengundi atau 68.73 peratus telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa," katanya pada sidang media pengumuman keputusan rasmi di sini, tengah malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Ramlan berkata SPR bercadang meneruskan inisiatif paparan dan “grandstand” bagi menyalurkan keputusan tidak rasmi pilihan raya selepas menerima maklum balas positif sejak ia diperkenalkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan.

Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi membolehkan orang ramai memperoleh maklumat keputusan pilihan raya dengan lebih cepat dan telus memandangkan data yang dikongsi bukan bersifat rahsia.

"Maklumat (keputusan tidak rasmi) berkenaan diperoleh daripada Borang 14 yang turut dikongsi dengan ejen calon, sekali gus memastikan ketelusan dalam proses pengumuman keputusan," katanya.

Bagaimanapun, Ramlan berkata SPR akan meneliti dari semasa ke semasa sekiranya timbul sebarang isu berkaitan pelaksanaan pendekatan itu, namun setakat ini ia dilihat memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

Sementara itu, beliau berkata SPR akan meneliti dengan lebih terperinci tindakan segelintir individu yang memuat naik gambar kertas undi yang telah dipangkah ke media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berulang pada pilihan raya akan datang.

Ramlan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa gambar yang tular, namun tidak dapat mengesahkan sama ada gambar berkenaan benar-benar dirakam di dalam bilik mengundi.

"Kita ada melihat beberapa gambar yang dimuat naik ke media sosial. Kita tidak dapat memastikan sama ada gambar itu memang diambil dalam bilik mengundi, perkara ini akan kita teliti dengan lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata SPR menetapkan peraturan bahawa pengundi perlu meletakkan telefon bimbit masing-masing di dalam kotak yang disediakan sebelum proses pengundian.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala baki lapan lagi kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.