KAJANG, 5 JULAI: Kesanggupan seorang pengunjung dari Kuala Langat meluangkan hujung minggu bersama keluarga untuk menyertai Program Sungai Untuk Kehidupan (Rivers For Life) 2026 mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap usaha pemuliharaan sungai.
Kakitangan swasta, Dzulhelmi Mohamad Miskan, 32, berkata beliau mengetahui mengenai program itu daripada ahli keluarganya sebelum memutuskan untuk membawa anak-anak ke Taman Rekreasi Sungai Chua.
Menurutnya, aktiviti menangkap spesies ikan asing memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai usaha memulihkan ekosistem tasik, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara spesies ikan tempatan.

“Walaupun agak jauh, saya luangkan masa hujung minggu untuk datang bawa anak-anak. Tadi saya lihat aktiviti mengeluarkan ikan asing dari tasik dan ia memang satu usaha yang baik.
“Sebelum ini saya tidak tahu terdapat banyak spesies ikan asing kerana yang selalu didengari hanya ikan bandaraya. Program seperti ini memang bagus kerana dapat memberi kesedaran dan ilmu kepada masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Nur Azlin Nasrina Amerudin, 31, berkata kunjungan pertamanya ke Taman Rekreasi Sungai Chua bersama keluarga secara kebetulan menemukan mereka dengan program berkenaan.
Menurutnya, pelbagai aktiviti yang disediakan memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti, di samping mempelajari kepentingan memelihara alam sekitar.

“Saya datang untuk beriadah bersama keluarga dan tidak sangka ada program seperti ini. Tanpa berfikir panjang saya dan suami terus mendaftarkan anak menyertai aktiviti mewarna dan mencanting batik. Memang seronok.
“Program seperti ini sangat membantu dan saya harap ia dapat diadakan dengan lebih kerap kerana lokasinya dekat dengan rumah serta sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.
Program Sungai Untuk Kehidupan anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terus menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sungai dan ekosistem perairan, selain menangani isu lambakan spesies ikan asing di Tasik Sungai Chua.
Timbalan Yang Dipertua MPKj, Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta berkata program tahunan yang dianjurkan sejak 2018 di bawah inisiatif Local Agenda 21 itu diadakan buat julung kalinya di Taman Rekreasi Sungai Chua dengan penyertaan kira-kira 500 peserta.








