KAJANG, 4 JULAI: Program Sungai Untuk Kehidupan (Rivers For Life) anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terus menjadi platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sungai dan ekosistem perairan, selain menangani isu lambakan spesies ikan asing di Tasik Sungai Chua.
Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta berkata program tahunan yang dianjurkan sejak 2018 di bawah inisiatif Local Agenda 21 itu berlangsung buat julung kali di Taman Rekreasi Sungai Chua dengan penyertaan kira-kira 500 peserta.
Menurutnya, lokasi berkenaan dipilih selepas MPKj menerima aduan orang ramai mengenai peningkatan spesies ikan asing yang dibimbangi menjejaskan keseimbangan ekosistem tasik.

"Program Rivers For Life merupakan acara tahunan MPKj sejak 2018 di bawah Local Agenda 21 yang memberi fokus kepada pemeliharaan alam sekitar khususnya kawasan sungai, tasik dan kolam tadahan.
"Hari ini kita memilih Tasik Sungai Chua kerana menerima beberapa aduan daripada pengunjung mengenai kewujudan banyak spesies ikan asing di tasik ini. Justeru, kita mengambil pendekatan menganjurkan aktiviti memancing ikan asing bagi membantu mengimbangi ekosistem Tasik Sungai Chua," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Rivers For Life MPKj 2026 yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Balakong, Ong Chun Wei.
Mohd Fareez berkata MPKj turut membuka peluang kepada orang awam menyertai aktiviti memancing selama lima jam bagi membantu Pejabat Perikanan Daerah Hulu Langat menjalankan inventori spesies ikan di Tasik Sungai Chua.

Katanya, hampir satu tan ikan berjaya didaratkan sepanjang program itu melibatkan spesies seperti ikan bandaraya, patin, lampam dan jelawat.
Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar kemunculan spesies ikan asing di tasik berkenaan masih belum dapat dipastikan.
"Sebenarnya kita tidak boleh menuduh mana-mana pihak, namun ada kemungkinan ikan ini dipelihara sebelum dilepaskan atau terlepas ke tasik apabila berlaku banjir.
"Program seperti ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya melepaskan spesies ikan asing ke perairan tempatan serta kepentingan melindungi spesies ikan tempatan. Insya-Allah program ini akan diteruskan lagi pada September ini sempena Hari Sungai Sedunia," katanya.

Selain aktiviti memancing ikan asing, program itu turut diisi dengan gotong-royong membersihkan kawasan taman rekreasi, penanaman pokok, pelepasan 100 benih ikan haruan, aktiviti mencanting batik, pameran agensi serta pertandingan berkaitan perikanan dan alam sekitar.
Program Rivers For Life 2026 dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pejabat Perikanan Daerah Hulu Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa rakan strategik lain.










