Tourism Selangor giat tarik lebih ramai pelancong Singapura

2 Jul 2026, 10:37 AM
Tourism Selangor giat tarik lebih ramai pelancong Singapura

SHAH ALAM, 2 JULAI: Tourism Selangor mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong dari Singapura menerusi program jaringan industri dan kerjasama strategik sempena lawatan kerja selama dua hari ke negara itu bermula 30 Jun lepas.

Agensi itu memaklumkan lawatan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Yee Ling, bertujuan mempromosikan produk pelancongan negeri selain mengukuhkan hubungan dengan pemain industri pelancongan Singapura.

Menurut kenyataan di Facebook, Tourism Selangor dengan kerjasama Tourism Malaysia Singapura telah menganjurkan Sesi Jaringan ASEAN 2026 bertemakan Surprising Selangor! pada 30 Jun.

Program berkenaan menghimpunkan ejen pelancongan dan pemain industri dari Singapura bagi memperkenalkan kepelbagaian produk serta pengalaman pelancongan yang ditawarkan di negeri ini.

Turut mengadakan pembentangan destinasi ialah Monkeys Canopy Resort, Farm Fresh @ UPM, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

"Usaha ini juga bertujuan mengukuhkan hubungan dengan rakan industri pelancongan Singapura sekali gus meningkatkan potensi ketibaan pelawat dari negara itu ke Selangor," menurut kenyataan itu.

Delegasi Tourism Selangor turut mengadakan kunjungan hormat ke Singapore Tourism Board (STB) bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan industri pelancongan serta meneroka peluang kerjasama baharu.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam sektor pelancongan kapal persiaran selain memperkukuh promosi perjalanan dua hala antara Singapura dan Selangor.

Menurut Tourism Selangor, kerjasama strategik itu diharap dapat memperkukuh hubungan pelancongan antara kedua-dua destinasi serta menggalakkan lebih ramai pelawat meneroka keunikan negeri ini menerusi kempen Surprising Selangor.

Agensi itu turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Singapura, Singapore Tourism Board, rakan industri serta semua peserta yang menjayakan lawatan kerja berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.